Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa pada pagi tadi.
Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, telah dikejarkan ke hospital dan diberikan rawatan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab, berkata remaja berkenaan menyertai larian sejauh tujuh kilometer anjuran sekolah itu bersama kira-kira 700 pelajar lain kira-kira jam 8 pagi.
Namun, ketika menghampiri garisan penamat pada jam 9.30 pagi, mangsa dikatakan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. Guru yang berada di lokasi kejadian telah memberikan bantuan pernafasan, namun mangsa tiada tindak balas. Pihak sekolah kemudiannya menghubungi talian kecemasan 999.
Syahrul Anuar turut menyatakan pihak paramedik telah memberikan bantuan awal sebelum dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).
“Ambulans tiba di Unit Kecemasan HTAN kira-kira jam 10.15 pagi. Selepas hampir sejam memberikan bantuan, akhirnya remaja itu disahkan meninggal dunia,” katanya.
Mangsa menghidap penyakit jantung
Menurutnya,berdasarkan keterangan bapa mangsa, remaja itu disahkan menghidap penyakit jantung berlubang pada 2016 dan masih dibekalkan ubat daripada Institut Jantung Negara (IJN).
“Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Sumber: Berita Harian