'Kami hanya meraikan sambutan hari jadi anak rakan' - Pekin Ibrahim nafi sambut Krismas | The Reporter

‘Kami hanya meraikan sambutan hari jadi anak rakan’ – Pekin Ibrahim nafi sambut Krismas

Pekin Ibrahim nafi sambut Krismas, jelaskan video tular berkaitan majlis hari jadi anak rakan.
Pekin Ibrahim tampil jelaskan salah faham video tular dan menafikan dakwaan sambut Krismas. | Sumber gambar: Media sosial

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Isu dakwaan pasangan selebriti Mona Allen dan Pekin Ibrahim meraikan sambutan Hari Krismas mencetuskan perdebatan hangat di media sosial selepas satu video siaran langsung tular sejak beberapa hari lalu.

Video berkenaan memaparkan suasana sebuah majlis makan dengan tetamu mengenakan topi Santa Claus, selain adegan pertukaran hadiah yang mencetuskan tanggapan bahawa pasangan selebriti itu menyertai perayaan Hari Natal, sekali gus menimbulkan kritikan dalam kalangan netizen Muslim.

Video tular undang reaksi netizen

Rakaman yang dipercayai diambil daripada siaran langsung akaun TikTok Reenazach itu turut menampilkan Mona Allen dalam keadaan tidak bertudung, sekali gus mengundang reaksi bercampur-campur daripada warganet.

Sebahagian netizen meluahkan rasa kecewa dan menyifatkan penyertaan umat Islam dalam perayaan agama lain sebagai tidak wajar, malah ada yang mengaitkan isu tersebut dengan sensitiviti bulan Rejab.

Antara komen yang tular termasuk persoalan mengenai penampilan Mona tanpa hijab, selain kenyataan individu yang mendakwa sudah lama berhenti mengikuti perkembangan pelakon itu di media sosial.

Baca juga:

“Ia hanya majlis hari jadi, bukan krismas” – Pekin

Menjawab dakwaan berkenaan, Pekin Ibrahim menafikan sekeras-kerasnya bahawa mereka meraikan sambutan Hari Krismas atau menyertai acara Secret Santa.

Menurut Pekin, kehadiran mereka hanyalah untuk meraikan sambutan hari jadi anak kepada dua rakan rapat, di mana salah seorangnya bukan beragama Islam.

“Kami hanya main permainan ‘musical chair’ dan tidak ada pertukaran hadiah. Ia bukan majlis Krismas,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pakaian yang dipakai adalah baju tidur kerana majlis itu berlangsung dalam suasana tertutup melibatkan ahli keluarga dan rakan terdekat sahaja.

Isu hijab & penyiaran video tanpa kebenaran

Dalam masa sama, Pekin melahirkan rasa kesal apabila rakaman isterinya tanpa bertudung tersebar luas di media sosial tanpa kebenaran.

Katanya, insiden itu berlaku ketika mereka baru tiba dan Mona sedang mendukung anak yang tidur, menyebabkan isterinya tidak sempat memakai tudung sebelum kamera dirakam secara langsung.

“Mona sudah minta kamera dialihkan. Dalam rakaman seterusnya memang dia sudah bertudung,” jelasnya, sambil menyifatkan tindakan menyebarkan video tersebut sebagai perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah.

Isu ini sekali lagi mengingatkan masyarakat tentang sensitiviti agama, batas privasi selebriti serta tanggungjawab pengguna media sosial dalam menilai dan menyebarkan kandungan yang berpotensi mencetuskan salah faham.

Sumber: Harian Metro / World of Buzz

Related Posts