Pekerja restoran maut selepas terjun dalam mesin deep fryer | The Reporter

Pekerja restoran maut selepas terjun dalam mesin deep fryer

Pekerja restoran maut selepas terjun dalam mesin deep fryer, insiden tragis di Amerika Syarikat
Pekerja restoran maut selepas terjun dalam mesin deep fryer, polis sahkan insiden sebagai cubaan bunuh diri. | Gambar: GB News

Seorang pekerja sebuah restoran makanan segera di Amerika Syarikat meninggal dunia selepas terjun ke dalam penggoreng jeluk (deep fryer) di tempat kerjanya dalam satu kejadian yang disahkan sebagai cubaan bunuh diri oleh pihak berkuasa.

Insiden tragis itu berlaku di sebuah cawangan Olive Garden di negeri Pennsylvania. Mangsa yang identitinya tidak didedahkan dilaporkan menanggalkan pakaian di dapur sebelum terjun secara meniarap ke dalam mesin penggoreng berisi minyak panas.

Menurut Polis Negeri Pennsylvania, mangsa segera dikejarkan ke hospital selepas pasukan kecemasan tiba di lokasi. Namun, dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Baca juga:

Panggilan kecemasan dedah suasana panik

Rakaman audio panggilan kecemasan 911 yang diperoleh media tempatan menggambarkan keadaan huru-hara di restoran ketika kejadian berlaku. Seorang operator memaklumkan bahawa terdapat mangsa melecur dengan orang ramai menjerit dan dalam keadaan panik.

Dalam panggilan susulan, pihak polis dimaklumkan seorang lelaki telah terjun secara terus ke dalam penggoreng jeluk. Beberapa unit kecemasan segera dikerahkan ke lokasi sebaik laporan awal diterima.

Situasi di restoran itu digambarkan sebagai kelam-kabut apabila kakitangan dan pelanggan menyaksikan kejadian tersebut secara langsung.

Rakan sekerja turut cedera ketika cuba membantu

Seorang rakan sekerja wanita dilaporkan mengalami kecederaan melecur ringan ketika cuba menghalang tindakan mangsa bersama beberapa kakitangan lain dan sekurang-kurangnya seorang pelanggan.

Sebuah ambulans kedua terpaksa dipanggil untuk memberikan rawatan kepada mangsa cedera. Pihak polis memaklumkan usaha menyelamat dilakukan sebaik mungkin, namun kecederaan yang dialami mangsa terlalu serius.

Jurucakap Polis Negeri Pennsylvania mengesahkan kejadian tersebut merupakan cubaan bunuh diri dan pihaknya tidak akan mendedahkan maklumat lanjut demi menghormati keluarga mangsa.

Sumber: GB News

Related Posts