Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Pegawai kanan Iran nafi terima sebarang cadangan gencatan senjata daripada AS atau Israel
• Trump umum ‘perang 12 hari’ sudah tamat, dakwaan disifatkan sebagai cubaan tipu helah
• Iran masih melancarkan serangan balas selepas serangan AS ke atas kemudahan nuklear
Seorang pegawai tertinggi kerajaan Iran menolak mentah-mentah dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kononnya telah wujud gencatan senjata antara Iran dan Israel.
Menurut laporan CNN, pegawai itu menyifatkan kenyataan Trump sebagai satu “penipuan” yang bertujuan untuk memperdaya Iran agar melonggarkan kawalan pertahanan mereka.
Trump pada Isnin telah membuat kenyataan mengejut di Truth Social dengan mendakwa perang antara Iran dan Israel yang digelarnya sebagai “Perang 12 Hari” telah tamat selepas persetujuan gencatan senjata dicapai. Namun dakwaan itu segera dinafikan oleh sumber kanan Iran yang menegaskan mereka tidak pernah menerima sebarang cadangan gencatan senjata daripada AS mahupun Israel.
“Ketika ini, musuh sedang melakukan pencerobohan terhadap Iran dan kami sedang bersiap sedia untuk menggandakan serangan balas. Kami tidak akan terpengaruh dengan pembohongan musuh,” kata sumber Iran kepada CNN.
Apa yang berlaku sebelum Trump umum ‘gencatan senjata’?
Beberapa jam sebelum kenyataan Trump, Iran telah melancarkan serangan balas ke atas pangkalan tentera AS di Qatar sebagai tindak balas terhadap serangan udara Amerika ke atas beberapa fasiliti nuklear Iran hujung minggu lalu.
Dalam catatan panjang di media sosialnya, Trump mendakwa Iran akan menghentikan serangan dalam tempoh enam jam, manakala Israel akan menghentikan tindakan ketenteraan selepas 12 jam.
“Ini perang yang boleh berlarutan bertahun-tahun dan memusnahkan seluruh Timur Tengah, tetapi tidak berlaku dan tidak akan berlaku!” tulisnya.
Kenyataan itu turut mengundang perhatian kerana ketegangan antara kedua-dua negara memuncak sejak awal Jun apabila Israel melancarkan beberapa siri serangan dan menuduh Iran membangunkan senjata nuklear. Sebagai balasan, Iran melancarkan peluru berpandu ke Tel Aviv.
AS terlibat secara rasmi buat kali pertama
Pada peringkat awal konflik, Setiausaha Negara dan Penasihat Keselamatan Negara AS, Marco Rubio menjarakkan diri daripada tindakan Israel, menyatakan bahawa Israel bertindak secara unilateral. Namun serangan terbaru oleh tentera AS ke atas Iran menandakan penglibatan rasmi pertama Amerika dalam konflik ini sejak penggal kedua Trump bermula pada Januari lalu.
Sumber: CNN








