Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, tewas dalam kes saman fitnah dan dikehendaki membayar ganti rugi sebanyak RM825,000 kepada pemimpin DAP. Kes tersebut berpunca daripada dakwaannya yang mengaitkan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Teresa Kok dengan Parti Komunis Malaya (PKM).
Susulan itu, PAS dilaporkan menganjurkan kutipan derma untuk membantu Siti Mastura melangsaikan bayaran tersebut.
Dalam surat yang tular di media sosial, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, menyatakan kegagalan menjelaskan bayaran itu akan menyebabkan prosiding kebankrapan terhadap Siti Mastura, sekali gus boleh menyebabkan kerusinya sebagai Ahli Parlimen terlucut.
Takiyuddin turut memaklumkan kenyataan tersebut dibuat oleh Siti Mastura semasa berkempen untuk PAS dalam pilihan raya kecil Kemaman. Bagi mengelakkan pilihan raya kecil berlaku, PAS dikatakan meminta sumbangan daripada ahli-ahli parti.
Dalam surat itu, ketua jawatankuasa PAS pusat, negeri, bahagian, dan cawangan diminta menyumbang sekurang-kurangnya RM500 setiap seorang. Manakala bahagian negeri serta sayap parti di peringkat persekutuan, negeri, dan bahagian dikehendaki mengumpul minimum RM20,000 setiap satu.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, ketika diminta mengulas enggan memberi sebarang komen tetapi merujuk kepada kes Rafizi Ramli pada 2017. Dalam kes itu, Rafizi turut mengadakan kutipan dana untuk membayar saman fitnah RM300,000, namun akhirnya memenangi rayuan dan wang dikembalikan.
Sementara itu, bekas pemimpin PAS, Khairuddin Aman Razali, mengkritik tindakan kutipan derma tersebut. “Sangat tidak wajar mengutip dana daripada masyarakat untuk membayar saman sivil kerana perlakuan dosa fitnah,” katanya.
Difahamkan, pihak Malaysiakini masih cuba mendapatkan pengesahan daripada Takiyuddin Hassan dan pemimpin PAS lain mengenai kesahihan surat berkenaan.
Sumber: MalaysiaKini