Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Masalah parkir haram di kawasan hadapan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Kepong kini menjadi punca kesesakan kronik yang mengganggu kehidupan harian penduduk. Gambar dan video tular menunjukkan deretan kenderaan yang diletakkan sesuka hati di bahu jalan sehingga menghalang laluan utama yang sepatutnya digunakan oleh penduduk dan kenderaan besar.
Hasil tinjauan mendapati, kesesakan sudah bermula seawal jam 6.15 pagi dan ramai terperangkap dalam jem termasuk dari tempat letak kereta bertingkat.
Seorang penduduk, Haryani Zolkifli berkata, “Pukul 6.15 pagi lagi dah jem dari kawasan parking. Bukan sekali, tapi dah banyak kali jadi macam ni.”
Baca juga:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
“Macam jalan tu bapak dia punya!”
Kebanyakan penduduk meluahkan rasa marah apabila terpaksa menghadapi situasi ini hampir setiap hari. Ada yang menyindir sikap pemandu yang parkir seolah-olah jalan tersebut milik mereka.
“Hebat betul gaya parking sekarang, rasa macam jalan tu bapak dia punya. Hari-hari parkir tepi jalan macam raja. Tak kisah dah orang lain nak lalu, ambulans nak jalan ke, lori sampah nak masuk ke. Asalkan kereta dia selamat, orang lain lantak,” tulis Ridzuan Hamzah di Facebook.
Beberapa penduduk turut menyatakan anak mereka lewat ke sekolah kerana tidak dapat keluar dari kawasan perumahan. Nor Shahidah berkongsi, “Dah 20 minit tak dapat keluar dari rumah sendiri pun. Anak dah lambat sekolah. Geram betul!”
Penduduk mahu laluan asal dibuka semula
Ramai mendakwa punca utama kesesakan ini ialah penutupan satu laluan keluar terus ke MRR2 yang sebelum ini digunakan sebagai jalan utama. Kini, semua kenderaan terpaksa berkongsi satu laluan sempit di hadapan M Luna dan PPAM.
“Dulu dah cantik ada laluan keluar dari situ sebelum jejantas keluar rumah PPAM. Ada pihak tak ada otak, pergi tutup jalan tu. Sekarang ni dah jadi jalan utama, menyusahkan rakyat dan penduduk di sekitar,” kata Areyusi Maru.
Para penduduk juga mendesak pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar turun padang dan menyelesaikan isu ini secara tuntas. Mereka turut menyarankan agar DBKL menguatkuasakan tindakan saman terhadap parkir haram yang menyempitkan laluan daripada empat lorong kepada hanya dua lorong sahaja.








