Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Filem animasi Papa Zola The Movie mencipta kejutan apabila berjaya mengutip RM10 juta hanya dalam tempoh empat hari tayangan, sekali gus membuktikan penerimaan luar biasa penonton terhadap karya animasi tempatan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak berkata, kejayaan tersebut amat di luar jangkaan memandangkan Papa Zola The Movie merupakan filem animasi pertama yang menampilkan watak ikonik berkenaan di layar perak.
“Terima kasih kepada semua yang sudah menonton. Sebagai filem animasi pertama Papa Zola, ini merupakan satu kejutan besar buat kami. Kami tidak sangka Papa Zola The Movie mendapat tempat di hati penonton,” katanya.
Papa Zola The Movie ialah filem animasi terbitan Monsta Studio dengan kerjasama Astro Shaw yang mengangkat tema pengorbanan seorang bapa demi kebahagiaan keluarga. Filem ini menampilkan gabungan elemen komedi dan emosi yang menyentuh perasaan, khususnya dari sudut pandang seorang bapa yang sanggup melakukan apa sahaja demi insan tersayang.
Baca juga:
- Papa Zola The Movie kutip RM10 juta dalam empat hari tayangan
- Brad Pitt hidupkan watak Pelumba F1, peminat teruja sampai beli steering PS5
- Keluang Man capai RM3.79 juta setakat ini
Menerusi perkongsian di Facebook Papa Pipi Zola, seorang penonton tampil berkongsi pengalaman peribadinya yang seakan-akan selari dengan kisah Papa Zola. Malah, dia turut mengakui tidak dapat menahan air mata ketika menonton filem tersebut bersama keluarga.
“Saya dah pergi tengok filem ni. Ya, saya menangis dan isteri ucap terima kasih kerana cuba sebaik mungkin untuk cukupkan segalanya. Anak yang autism pun peluk dan ucap terima kasih. Terima kasih Papa Zola sebab hargai kami seperti hero,” tulis seorang penonton.
Dalam pada itu, Nizam turut berkongsi satu mesej menyentuh hati mengenai watak Papa Zola yang menjadi simbol kepada ramai insan di luar sana.
“Kadang yang selalu buat orang lain ketawa, yang nampak paling kuat dan periang itulah sebenarnya yang paling banyak memendam rasa. Di sebalik senyumannya, ada air mata yang jatuh dalam diam. Dia memilih untuk menjadi cahaya untuk yang lain, walaupun dirinya sendiri sudah habis tenaga untuk terus bersinar,” katanya.









