Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Papa Zola The Movie terbitan MONSTA Studio dan Astro Shaw terus mencipta fenomena apabila berjaya meraih kutipan box office sebanyak RM25.6 juta dalam tempoh 11 hari tayangan, sekali gus menduduki tempat nombor satu carta Top 10 GSC.
Bukan sahaja berjaya memikat hati kanak-kanak melalui visual animasi yang menghiburkan, filem ini turut menyentuh emosi golongan dewasa, khususnya para bapa. Jalan ceritanya yang menonjolkan pengorbanan seorang ayah dalam mencari rezeki demi keluarga nyata memberi kesan mendalam kepada penonton.
Sentuhan emosi filem ini turut tercermin dalam satu perkongsian tular di platform Thread, apabila seorang wanita berkongsi kisah pengorbanan dirinya bersama suami dalam menggembirakan anak-anak mereka. Perkongsian itu mencuri perhatian netizen sehingga pasangan berkenaan digelar sebagai ‘Papa Zola dan Mama Zila’ versi sebenar.
“Alhamdulillah mission accomplished nak bawa anak-anak tengok Papa Zola. Tapi biasalah, kena bersusah-susah dulu, bersenang-senang kemudian. Misi kami nak bawa anak-anak tengok Papa Zola dan makan-makan,” tulis wanita berkenaan.

Baca juga:
- ‘Papa Zola dan Mama Zila’ versi sebenar
- ‘Politik tanpa ihsan adalah politik tanpa arah’ – Afdlin Shauki
- ‘Hanya Mat Jenin boleh dapat terowong percuma’ – Lim Guan Eng
Menurut perkongsian itu, sebelum menunaikan hajat anak-anak, si bapa terlebih dahulu menjalankan tanggungjawabnya sebagai penghantar makanan, manakala si ibu turut menyempurnakan tugas hariannya. Pengorbanan itu akhirnya terbalas apabila wajah anak-anak jelas terpancar kegembiraan selepas dapat menonton Papa Zola The Movie, sebelum mereka sekeluarga menikmati hidangan di sebuah restoran Sushi King.
Perkongsian berkenaan mengundang reaksi positif netizen yang rata-rata terharu dengan keikhlasan pasangan tersebut dalam mencari rezeki tanpa mengharapkan belas ihsan orang lain.
“Contoh terbaik orang yang ikhlas mencari rezeki untuk keluarga. Semoga jadi teladan buat mereka yang suka meminta-minta. Insya-Allah, Allah akan kurniakan rezeki yang cukup dan berterusan buat keluarga ini,” tulis seorang netizen.









