Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Saintis Oxford memberi amaran risiko kepupusan manusia kini semakin serius. Toby Ord, pakar kajian masa depan, menilai kemungkinan tamadun manusia musnah dalam tempoh 75 tahun pada tahap yang membimbangkan, manakala rakan penyelidiknya, Nick Bostrom, pula menganggarkan kebarangkalian manusia pupus menjelang abad depan boleh mencecah 25 peratus.
Ahli sejarah Jared Diamond pula meramalkan peluang manusia untuk bertahan selepas tahun 2050 hanya sekitar 50 peratus. Jika sebelum ini amaran mengenai kepupusan manusia sering dianggap gurauan, kini ia datang daripada pakar berwibawa berdasarkan data dan kajian. Ancaman yang dikenal pasti termasuk senjata nuklear, perubahan iklim, virus buatan manusia serta kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi menghasilkan senjata pemusnah.

Pola kejatuhan tamadun
Penyelidik Cambridge, Dr Luke Kemp, menegaskan hampir semua tamadun besar dalam sejarah akhirnya runtuh kerana kerakusan, jurang ekonomi dan sosial yang meluas dan perebutan kuasa. Beliau menyifatkan kuasa besar sebagai rapuh apabila wujud rasuah, kerosakan alam sekitar dan penderitaan rakyat.
Apabila sistem politik, ekonomi dan sosial gagal berfungsi, bencana seperti kemarau, banjir, kebakaran hutan atau wabak penyakit akan menjadi faktor yang mempercepatkan kejatuhan. Berbeza dengan dahulu, jika tamadun global moden tumbang, tidak ada lagi kuasa lain yang mampu mengambil alih.
Baca juga:
- Pelajar dibuli, dipaksa makan makanan pedas hingga dimasukkan ke ICU
- ‘Menghentam KPM bukan penyelesaian, ibu bapa juga perlu cerminkan diri’ – Rafizi Ramli
- Suami tergamam temui mayat isteri & anak di rumah sewa
Ancaman moden semakin kritikal
Senjata nuklear masih menjadi risiko utama sejak Perang Dingin dengan lebih 10,000 hulu peledak aktif di seluruh dunia. Namun ia kini bukan ancaman tunggal. Virus moden boleh merebak sepantas perjalanan udara, manakala pemanasan global berlaku jauh lebih cepat berbanding peristiwa kepupusan besar sebelum ini.
Selain itu, pakar AI turut menyuarakan kebimbangan bahawa sistem pintar yang sedang dibangunkan berpotensi bertindak melawan penciptanya. Sementara itu, fenomena alam seperti letupan solar besar berpotensi melumpuhkan satelit, sistem elektrik, komunikasi, perbankan dan pengangkutan global dalam sekelip mata.

Persediaan bilionair tidak menjamin
Kebimbangan ini mendorong tokoh teknologi seperti Peter Thiel dan Sam Altman membina bunker mewah di New Zealand dan lokasi lain. Namun pakar menegaskan komuniti tertutup sebegitu sukar bertahan kerana bergantung kepada sumber luar. Malah, ada kemungkinan bunker ini boleh diambil alih oleh pengawal mereka sendiri.
Negara miskin yang masih bergantung pada pertanian tradisional mungkin lebih berdaya tahan kerana kurang bergantung pada baja kimia, tetapi mereka juga tetap berdepan risiko besar akibat perubahan iklim.
Jalan keluar yang sarat risiko
Antara cadangan penyelesaian termasuk menyuntik bahan kimia ke atmosfera untuk mengurangkan cahaya matahari, tetapi langkah itu boleh mengganggu corak hujan dunia dan mencetuskan pemanasan mendadak jika dihentikan.
Hakikatnya, setiap pilihan datang dengan risiko tersendiri. Dari nuklear, krisis iklim, virus buatan hingga kecerdasan buatan, semua ancaman ini menekan tamadun moden pada masa yang sama. Persoalannya, berapa lama lagi manusia mampu bertahan?
Sumber: Daily Mail