'Otak kanak-kanak jadi mangsa konflik keluarga sama seperti veteran perang' - Kajian | The Reporter

‘Otak kanak-kanak jadi mangsa konflik keluarga sama seperti veteran perang’ – Kajian

Kanak-kanak yang mengalami konflik keluarga cenderung mempunyai otak yang sama dengan veteran perang,
Gambar hiasan Freepik.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kajian perintis oleh University College London (UCL) dan Pusat Anna Freud mendedahkan bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada konflik dan keganasan keluarga menunjukkan corak aktiviti otak yang sama seperti dialami oleh veteran perang.

Dalam kajian tersebut, imbasan otak menggunakan teknik fMRI terhadap 43 kanak-kanak yang terdiri daripada 20 mangsa penderaan fizikal dan konflik rumah tangga, manakala 23 lagi sebagai kumpulan kawalan menunjukkan tindak balas yang lebih tinggi pada bahagian amygdala dan anterior insula.

Kedua-dua bahagian otak ini berperanan penting dalam mengesan ancaman, dan corak tindak balas sama pernah dilaporkan dalam kalangan tentera yang terdedah kepada pengalaman peperangan.

Menurut penyelidik utama, Dr. Eamon McCrory dari UCL, tindak balas ini mungkin bersifat adaptif dalam jangka pendek kerana membantu kanak-kanak lebih peka terhadap bahaya di persekitaran mereka.

Baca juga:

Bagaimanapun, penyelidik memberi amaran bahawa perubahan corak aktiviti otak tersebut boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan mental seperti kebimbangan (anxiety) dan gangguan psikologi lain dalam jangka masa panjang.

Hasil kajian ini menekankan keperluan mendesak untuk memberikan intervensi awal kepada kanak-kanak yang terdedah kepada keganasan rumah tangga agar kesan trauma psikologi dan neurologi dapat diminimumkan.

“Kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran penuh konflik mungkin belajar untuk lebih peka terhadap ancaman, tetapi harga yang perlu dibayar adalah risiko kesihatan mental pada masa depan,” jelas Dr. McCrory.

Kajian ini merupakan yang pertama menggunakan fMRI untuk menyiasat kesan penderaan dan konflik keluarga terhadap otak kanak-kanak, sekali gus membuka ruang baru dalam pemahaman tentang trauma awal dan keperluan sokongan psikologi kepada golongan muda.

Sumber: Amazing Science Facts, University College London

Related Posts