“Nak cornflakes atau porridge?” soal saya pada Khaleef, ketika kami bersarapan di sebuah hotel di Batu Feringgi yang menjadi tumpuan ramai pelancong dari luar negara pada hujung minggu yang lalu.
Namun, Khaleef tidak menjawab soalan saya. Saya bangun dan terus menuju ke bufet makanan yang banyak dan nampak ‘macam best’ itu. Pusing dua kali, lalu saya berhenti di depan dua orang chef. Seorang abang dan seorang kakak yang sedang menggoreng telur. Lalu saya memesan telur goreng mata kuning cair sebanyak dua biji untuk diri saya dari abang chef.
Ketika sedang menunggu, seorang lelaki tempatan datang ke situ juga, seraya berkata pada akak chef.
“Buat satu scramble egg and ask someone to send it to my table there,” katanya sambil jari menunding ke arah meja beliau sebelum beredar.
Akak chef itu pun senyum kelat.
Datang pula seorang lelaki ‘Mat Salleh’ dengan loghat British yang pekat berkata pada akak chef tadi.
“Good morning mem. Can you make me an omelet please?”
“Sure sir,” balas akak chef itu dengan senyuman.
Lelaki itu pun berdiri menunggu. Ketika itu, hidangan yang saya pesan telah pun disiapkan oleh abang chef. Setelah mengucapkan terima kasih, saya kembali ke meja dan melayan Khaleef makan sambil memerhatikan sekeliling.
Di meja hadapan, pasangan warga Arab yang mungkin baru berkahwin, sedang bersarapan. Meja mereka penuh dengan pelbagai makanan dan minuman.
Di meja sebelah kiri pula, pasangan Melayu yang sedang berbulan madu agaknya. Inai dijari mereka masih nampak merah. Kelakuan mereka berdua nampak manja-manja, makan pun bersuap pelahan-lahan sambil terukir senyuman di wajah masing-masing.
Di meja belakang pula ada sebuah keluarga ‘Mat Salleh’ dengan dua orang anak kecilnya yang berusia sekitar 2-4 tahun. Si ayah sedang melayan anak-anaknya makan dan si ibu pula sedang mengambil makanan.
Di meja hujung pula ternampak sekumpulan besar lelaki dan wanita Malaysia sekitar 6-7 orang yang agak berusia. Datang berkursus agaknya. Penuh dengan hilai tawa dari meja tersebut.
Kami sekeluarga pun terus makan sambil sekali sekala saya memarahi Khaleef kerana bermain dengan makanannya. Selesai makan sekitar 40 minit kemudian, saya sekali lagi memerhatikan kembali meja-meja di sekeliling saya.
Pasangan Melayu yang sedang berbulan madu beredar terlebih dahulu. Mejanya tidak bersepah kerana makanan yang diambil tidak banyak. Hanya ada baki air minuman yang tidak dihabiskan. Mereka beredar dan kerusi tidak ditolak kembali.
Pasangan Arab seterusnya beredar. Meja bersepah-sepah. Banyak lebihan dan sisa makanan di atas dan di bawah meja. Banyak gelas yang ada baki minuman yang tidak dihabiskan. Kerusi juga tidak ditolak kembali ke tempat asal.
Keluarga ‘Mat Salleh’ pula sedang sibuk mengemas meja. Sisa makanan anak-anak yang jatuh ke lantai pun dikutipnya kembali. Pinggan, mangkuk, cawan dan gelas disusun kemas. Sisa makanan di atas meja dilap dengan tisu. Setelah berpuas hati, mereka bangun dan tolak kerusi kembali ke tempatnya, beredar.
Kumpualan yang sudah berusia itu pula seterusnya beredar. Bersepah ya rabbi! Saya tak nak cerita dah.
Nampak tak? Bukannya saya nak bangga dengan ‘Mat Salleh’ tetapi saya sedih dengan orang kita terutamanya orang kita yang beragama Islam. Itukah peribadi seorang muslim?
Cerita saya tadi, kita semua boleh tengok setiap hari di mana-mana sahaja. Selesai makan, meja bersepah. Segala sisa nasi, tulang ikan, tulang ayam, manggi goreng, sisa roti canai dan sebagainya bersepah.
Kalau yang makan dengan anak-anak lagilah. Kalau pelayan restoran datang nak mengemas kembali meja, boleh menangis dibuatnya.
Susah sangat ke nak kumpulkan sisa makanan dan kemas sedikit meja tempat kita makan itu, kemudian tolak semula kerusi ke tempat asal? Payah sangat ke?
Nak buat macam mana kan? Awak bayar duit dan awak bebas melakukan apa sahaja walaupun ia menunjukkan sikap pemalas dan pengotor awak. Haishh! Entahlah, saya tak tahu nak cakap apa dah! Mentaliti jamban sungguh! – Khairul Abdullah | PIXEL MEDIA