Susulan kes penunggang motosikal menunggang melawan arus sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE), polis kini sedang giat mengesan suspek yang dipercayai melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian itu berlaku pada jam 1 tengah hari di jejambat (flyover) SUKE berhampiarn Ulu Kelang, yang membabitkan mangsa berusia 60 tahun.
“Mangsa (penunggang Ducati Panigale) sedang melalui jalan berselekoh, kemudian cuba mengelak lalu melanggar penghadang sebelah kiri jalan.
“Kesan pelanggaran itu menyebabkan penunggang terhumban dan jatuh ke bawah pada ketinggian kira-kira 30 meter,” katanya.
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kakinya terputus akibat tersangkut di kawat berduri Stesen Kawalan Smart Sungai Klang.
Siasatan mendapati kemalangan itu berlaku berpunca daripada penunggang motosikal yang menunggang melawan arus. Suspek juga terus melarikan diri selepas kejadian itu.
Siasatan kini tertumpu pada pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) milik pihak SUKE dan polis meminta orang awam yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.
Sumber: Harian Metro