Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian, mencetuskan perhatian apabila mengulas sumbangan bantuan dari Malaysia kepada mangsa bencana banjir di Aceh dan Sumatera dengan menyifatkan nilainya sebagai tidak signifikan.
Menurut beliau, bantuan yang diterima berupa ubat-ubatan itu, selepas diteliti dari segi jenis dan jumlah, didapati tidak mencecah Rp1 bilion, iaitu sekitar RM280,000.
“Selepas diteliti jenis dan jumlah ubat-ubatan yang dihantar, nilainya tidak mencecah Rp1 bilion,” katanya.
Beliau menjelaskan, jumlah tersebut kecil jika dibandingkan dengan kemampuan kewangan serta peruntukan yang dimiliki kerajaan Indonesia, yang menurutnya telah mengerahkan bantuan jauh lebih besar dalam usaha menangani bencana.
“Kita ini sebuah negara. Jika jumlahnya Rp1 bilion, kita mampu kerana mempunyai peruntukan yang jauh lebih besar. Bantuan yang kita kerahkan juga jauh melebihi jumlah tersebut,” jelasnya.
Tito turut menyuarakan kebimbangan bahawa bantuan asing dalam jumlah kecil boleh menimbulkan persepsi seolah-olah Indonesia tidak mampu menguruskan bencana sendiri, sedangkan kerajaan mempunyai keupayaan dan sumber yang mencukupi.
Baca juga:
- ‘Rakyat tidak boleh ambil kayu balak sisa banjir sesuka hati’ – Parlimen Indonesia
- 30 tan beras bantuan UAE dipulangkan, Indonesia enggan terima bantuan asing
- Ketua Menteri di India tarik niqab doktor wanita cetus kecaman
Rakyat Indonesia hargai keprihatinan Malaysia
Susulan kenyataan itu, beberapa pengguna media sosial dari Indonesia tampil menyatakan penghargaan terbuka kepada Malaysia atas bantuan yang dihulurkan kepada mangsa bencana banjir di Aceh dan Sumatera.
Dalam komen yang tular, terdapat gesaan agar rakyat Malaysia tidak mengambil hati terhadap kenyataan mana-mana menteri Indonesia yang dianggap tidak mencerminkan suara rakyat sebenar.
Seorang pengguna Instagram menegaskan bahawa rakyat Indonesia sendiri amat berterima kasih atas keprihatinan Malaysia, malah menyifatkan tindakan Tito meremehkan bantuan kemanusiaan sebagai tidak wajar.
Sentimen sama turut dikongsi pengguna lain yang menekankan bahawa bantuan kemanusiaan seharusnya dinilai dari sudut solidariti dan empati, bukannya berdasarkan nilai kewangan semata-mata.
Nada komen-komen berkenaan jelas membezakan pendirian rakyat dengan pandangan rasmi kerajaan, selain menzahirkan hubungan erat serta rasa persaudaraan antara masyarakat Indonesia dan Malaysia ketika berdepan situasi bencana.
Sumber: Pikiran Rakyat










