Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Israel janji tiada serangan lanjut terhadap Iran selepas berbincang dengan Trump
• Gencatan senjata disahkan, namun kedua-dua pihak saling tuduh langgar perjanjian
• Trump yakin Israel capai matlamat ketenteraan, dan gencatan akan kekal
Israel bersetuju untuk tidak meneruskan sebarang serangan terhadap Iran susulan perbualan telefon antara Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa.
Menurut Pejabat Perdana Menteri Israel, dalam perbualan itu Trump menyatakan keyakinannya terhadap kestabilan gencatan senjata yang diumumkannya malam sebelumnya dan menyampaikan penghargaan atas pencapaian Israel dalam operasi ketenteraan.
Gencatan senjata tersebut diumumkan oleh Trump pada malam Isnin dan disahkan oleh Israel dan Iran pada hari berikutnya. Namun, ketegangan terus berlanjutan apabila masing-masing saling menuduh pihak lawan melanggar perjanjian.
Apa berlaku sebelum dan selepas gencatan?
Pejabat Netanyahu mendedahkan, kira-kira empat jam sebelum gencatan senjata bermula, pasukan tentera Israel telah melancarkan serangan yang menyebabkan ratusan anggota keselamatan Iran dan ahli Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) terkorban.
Iran pula didakwa membalas dengan melancarkan beberapa peluru berpandu, termasuk satu yang dilepaskan enam minit selepas tempoh gencatan bermula dan dua lagi dalam tempoh tiga jam setengah berikutnya.
“Peluru-peluru berpandu ini sama ada dipintas atau jatuh di kawasan terbuka tanpa menyebabkan sebarang kecederaan atau kerosakan,” menurut kenyataan Pejabat Netanyahu.
Sebagai tindak balas terhadap pelanggaran tersebut, Israel bertindak memusnahkan sebuah sistem radar berhampiran Tehran. – Agensi








