Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyerahkan surat pencalonan Donald Trump untuk Hadiah Nobel Keamanan, semasa makan malam rasmi bersama bekas Presiden Amerika Syarikat itu di Rumah Putih pada Isnin lalu.
Pencalonan itu diberikan sebagai penghargaan kepada usaha Trump dalam memulakan rundingan damai antara Israel dan Hamas, walaupun perjanjian gencatan senjata masih belum dimuktamadkan. Netanyahu dilihat mahu memperkukuh kedudukan Trump sebagai tokoh yang membawa perubahan besar dalam landskap politik Asia Barat.

“Saya mahu serahkan surat yang saya hantar kepada jawatankuasa Hadiah Nobel; surat ini mencalonkan Tuan untuk Hadiah Keamanan, yang saya percaya sangat layak diterima. Tuan memang sepatutnya mendapat anugerah itu,” kata Netanyahu sambil menyerahkan surat pencalonan tersebut.
Trump kelihatan terharu dengan tindakan itu dan membalas, “Terima kasih banyak. Saya tak tahu pun pasal ini. Wow. Bila datang daripada anda, ini sangat bermakna. Terima kasih banyak, Bibi.”
Baca juga:
- Disemadikan seperti wira, anjing jalanan Kali selamatkan 30 murid daripada ular berbisa
- Video LEGO karya Mahdi Hemmat curi perhatian dunia, bawa naratif konflik semasa
- Pekerja ditahan, didakwa bakar gudang di Ontario, California
Mengapa pencalonan ini penting?
Trump kini berusaha menyelesaikan konflik Gaza yang telah berlarutan lebih 21 bulan. Salah satu perancangannya ialah memeterai perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas, di samping memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dan tebusan dibebaskan secara berperingkat.
“Saya mahu menghentikan peperangan. Saya benci melihat orang dibunuh,” katanya ketika makan malam berlangsung.
Trump turut menghantar utusan khasnya, Steve Witkoff ke Qatar minggu ini bagi membantu proses rundingan yang sedang berlangsung. Rundingan tersebut menyentuh cadangan Qatar untuk gencatan senjata 60 hari, yang diterima secara prinsip oleh Israel dan mendapat maklum balas positif daripada Hamas.
Malah, Trump percaya penyelesaian konflik Gaza boleh membuka jalan untuk normalisasi hubungan antara Israel dan Arab Saudi. Sesuatu yang beliau anggap sebagai sasaran utama dalam meneruskan legasi Abraham Accords yang dimulakan ketika penggal pertamanya.
Cadangan pindahkan penduduk Gaza tidak diteruskan

Menurut Netanyahu, “Saya rasa kita boleh capai perdamaian menyeluruh di Timur Tengah dengan kepimpinan Presiden Trump. Jika kita bekerjasama, kita boleh capai perdamaian besar yang merangkumi semua jiran kita.”
Trump pula yakin peluang itu semakin hampir. “Saya rasa ada kemungkinan besar kita akan capai perjanjian dengan Hamas minggu ini, berkaitan beberapa tebusan,” katanya kepada media.
Walaupun sebelum ini Trump pernah mencetus kontroversi dengan cadangan ‘memindahkan’ penduduk Gaza dan menjadikan kawasan itu seperti ‘Riviera Timur Tengah’, kenyataan tersebut kini jarang disebut secara terbuka. Ketika ditanya sama ada cadangan itu masih dalam perbincangan, Trump menyerahkan kepada Netanyahu untuk menjawab.
Netanyahu menjawab, “Saya rasa Presiden Trump ada visi yang bijak. Ia dipanggil pilihan bebas. Kalau orang nak tinggal, mereka boleh tinggal. Tapi kalau nak keluar, mereka juga patut dibenarkan. Ia tak patut jadi penjara.”
Sumber: CNN, Reuters, New Yorker








