Ratusan nelayan Indonesia kepung kapal Petronas Carigali, tuntut pampasan | The Reporter

Ratusan nelayan Indonesia kepung kapal Petronas Carigali, tuntut pampasan

Kapal Petronas Carigali Indonesia dikepung ratusan nelayan di perairan Ketapang, Sampang, Jawa Timur ketika membantah aktiviti minyak dan gas.
Ratusan nelayan Indonesia mengepung kapal Petronas Carigali di Laut Ketapang sambil menuntut pampasan dan desak operasi migas dihentikan.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ratusan nelayan di perairan Ketapang, Sampang, Jawa Timur bertindak mengepung kapal milik Petronas Carigali Indonesia bagi membantah aktiviti tinjauan minyak dan gas (migas) yang didakwa menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Kejadian itu berlaku pada 17 Oktober lalu apabila kumpulan nelayan menaiki puluhan perahu kecil dan mengelilingi kapal berkenaan sambil membawa sepanduk bertulis “Laut Milik Nelayan” dan “Tolak Survei Petronas”. Mereka mendesak aktiviti dihentikan serta-merta kerana didakwa menjejaskan kawasan tangkapan ikan.

Nelayan dakwa rumpon rosak, tuntut pampasan

Menurut laporan media tempatan, nelayan mendakwa kerja tinjauan seismik yang dijalankan Petronas Carigali telah mengganggu habitat ikan dan merosakkan rumpon, iaitu alat tangkapan utama mereka.

Rumpon ialah alat buatan manusia yang menarik ikan berkumpul di laut supaya mudah ditangkap, biasanya dibuat daripada buluh atau besi dan perlu dipasang dengan kebenaran pihak berkuasa.

Baca juga:

Mereka turut menuntut pampasan sewajarnya atas kerosakan dan kerugian yang dialami. Ada juga mendakwa hasil tangkapan menurun sejak kapal syarikat beroperasi di kawasan berkenaan.

Kumpulan nelayan berkenaan memberi amaran akan melancarkan protes lebih besar sekiranya tuntutan mereka tidak diberi perhatian oleh pihak syarikat atau kerajaan daerah.

Petronas Carigali Indonesia bukan operasi Malaysia

Petronas Carigali Indonesia ialah anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang beroperasi di bawah lesen SKK Migas, agensi penyelia sektor hulu minyak dan gas Indonesia.

Walaupun entiti ini berdaftar di Indonesia, ia tetap membawa nama dan reputasi Petronas Malaysia sebagai syarikat induk. Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada Petronas mahupun SKK Migas berhubung tuntutan nelayan tersebut.

Pemerhati industri menjangka kerajaan daerah akan memanggil wakil syarikat dan komuniti nelayan bagi mencari penyelesaian bersama, termasuk kemungkinan pampasan atau penangguhan sementara operasi.

Related Posts