'Nampak bayangan orang di tingkap' - The Reporter

‘Nampak bayangan orang di tingkap’

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Dari IIUM Confessions

Aku merupakan alumni sebuah universiti di tanah air, ingin berkongsi cerita semasa duduk menyewa dengan rakan-rakan semasa belajar dulu. Yang ini memang kisah benar. 
Kami menyewa di luar masa tahun kedua sebab tak dapat kolej kediaman dan tidak aktif sangat aktiviti universiti. Sayang sangat dengan lemak yang sudah dikumpul bertahun-tahun. Cari punya cari, dapatlah sebuah rumah ini Kami semua tujuh orang, semua budak engineering. Jadi, pergi kuliah pun bersama-sama. 
Aku namakan Bibah, Peah, Timah, Kiah, Minah, Jenab dan aku. Timah dan Jenab ini duduk berdua di bilik utama. Peah, Minah dan Bibah duduk sebilik di bilik kedua, depan bilik utama. Aku dengan Kiah duduk di bilik belakang sekali. 

PERGADUHAN TERCETUS

Masa mula-mula duduk serumah ini, semuanya baik-baik sahaja, harmoni gitu. Namun selepas tiga bulan, adalah pergaduhan kecil sikit-sikit. Aku dengan Kiah tak ambil tahu sangat sebab bilik kami berada di belakang berdekatan dengan dapur. Bila orang bergaduh, kami buat tak tahu saja. 

Lama kelamaan, aku dengan Kiah menjadi serabut sebab dah terlalu kerap mereka bergaduh. Lalu kami pun bersemuka, bahasa mudahnya ‘Open Table’. 
Punca pergaduhan disebabkan si Timah dengan Jenab membawa jantan balik ke rumah. Mereka kantoi dengan Bibah. Aku dengan Kiah terkejut bila dimaklumkan mengenai hal itu. Sudahlah aku dengan Kiah memang jenis malas nak keluar rumah. Balik kuliah, lepak dalam bilik layan Running Man atau tengok movie. 
Selepas ‘Open Table’ itu, kami mengambil keputusan sebulat suara untuk menyuruh si Timah dan Jenab ini keluar dari rumah. ‘Pemergian’ mereka itu diganti dengan Lala dan Pipah.
RUMAH MULA ‘DIGANGGU’

Selepas beberapa hari kemudian, rumah sewa kami mula terkena gangguan. Kiah terjumpa jarum patah dalam bubur. Mujur tak tertelan. Peah pula terjumpa daging mentah yang busuk di dalam bilik. Padahal kami tak pernah pun beli daging sepanjang tinggal di rumah ini. 

Kemuncaknya apabila kami balik dari kuliah di mana kami mendapati siling bilik Peah berlubang. Dari lubang itu terdapat kesan tapak kaki kecil turun dari lubang dan panjat ke tiang seri rumah lalu ke dapur. Tapak kaki itu berakhir di tingkap dapur. Yang peliknya, tingkap dapur itu tak terbuka langsung. Hanya ada kesan tapak kaki sahaja. 
Pada mulanya kami menyangka itu semua perbuatan monyet. Namun, kami maklumkan juga kejadian itu kepada tuan rumah yang juga merupakan tok imam masjid. 
Tok Imam mengesyaki kami melakukan perkara yang bukan-bukan dan memarahi kami kerana duduk di rumah tak pakai pakaian cukup kain. Lala, yang merupakan anak dia menjawab tuduhan ayahnya itu. 
“Semua perempuan kot? Bukannya ada nafsu sesama sendiri?!” kata Lala. 
“Kalau jadi apa-apa selepas ini, aku tak nak tolong,” balas ayahnya. 
BUNYI LOCENG KAKI DAN BAYANGAN MISTERI

Selang dua hari kemudian, kami diganggu lagi. Masa itu nak final exam. Esoknya kami ada dua paper yang agak susah, hidraulik dengan apa entah, tak ingat. Malam itu, kami tidur lewat sebab mahu belajar bersama-sama. Dalam jam 2 pagi, semua masuk tidur.

Tidak lama selepas itu, terdengar bunyi loceng seperti loceng gelang kaki yang dihentak-hentak. Di depan pintu bilik, nampak seperti ada orang berdiri. Sudahlah bilik aku paling belakang. Aku cuba mesej Lala tetapi tidak dibalas. Aku cuba call Lala pun tak dapat. Seram sejuk aku pada masa itu. Dengan nampak bayangan orang di tingkap. Masa itu Allah saja yang tahu macam mana rasa seram itu. 
Mujurlah Kiah ini jenis yang kuat semangat. Dia baca ayat kursi sekuat mungkin. Selepas itu, aku jerit panggil yang lain keluar dan masuk dalam kereta aku dan pecut pergi ke rumah ustaz di Pekan. Ustaz ini adalah lecturer yang mengajar kami semasa tahun 1. Berhimpitlah kami seramai 7 orang dalam kereta Wira. Mujurlah aku dengan Kiah gemuk, yang lain kurus melidi. 
Sampai saja, ustaz terus suruh kami masuk ke rumah dia cepat-cepat. Kami tunggu Subuh, baru balik ke rumah dengan ustaz. Ustaz pun call ayah Lala. 
BAU TERBAKAR

Sampai saja rumah, terus ustaz laungkan azan kuat-kuat. Selepas itu, ustaz ambil cuka terus curah di penjuru dalam rumah. Bau terbakar dekat tempat yang dicurah dengan air cuka tadi. Selepas itu, dia ambil garam kasar dengan lada hitam, ditabur untuk pagar rumah. Selesai semua itu, ustaz pun beritahu,

“Ada orang yang terasa hati dengan kamu semua. Jadi, dia balas dengan cara halus,” katanya. 
Satu saja nasihat aku, bila berkawan kena pandai. Aku akui kami semua jenis cakap lepas, gurau kasar dan jenis cakap depan-depan. Tetapi kami silap, kami lupa bahawa tak semua orang seperti kami. Tak semua orang boleh menerima bila kita menghukum mereka di atas kesalahan yang mereka lakukan. 
Akhir kata, kalau ada yang duduk satu rumah, andai kata ada yang buat salah, tegurlah baik-baik. Janganlah jadi seperti kami. – Fida, IIUM Confessions

Hantarkan kisah seram anda ke thereportermyofficial@gmail.com

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!