Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis mengesahkan pengarah dan penyanyi kontroversi, Namewee, 42, ditahan di sebuah hotel di ibu negara bulan lalu selepas disyaki memiliki dan menggunakan dadah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menahan suspek pada jam 4.30 petang, 22 Oktober lalu.
“Hasil pemeriksaan di dalam bilik hotel terbabit menemui sembilan biji pil berwarna biru disyaki ekstasi dengan anggaran berat 5.12 gram. Suspek kemudiannya ditangkap dan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya lagi, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati Namewee positif amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC.
“Suspek direman selama dua hari sebelum dituduh di mahkamah pada 24 Oktober lalu dengan dua pertuduhan berasingan,” jelasnya.
Baca juga:
- MERCY Malaysia tiba di Gaza, bantu pemulihan sistem kesihatan
- Bekas pemain bola disyaki tembak lelaki yang pernah menyerangnya
- Utusan ambil tindakan undang-undang individu guna nama Utusan sebar fitnah
Bagi pertuduhan pertama, Namewee didakwa di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, namun tidak mengaku bersalah. Mahkamah membenarkan jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Pertuduhan kedua pula dibuat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menggunakan dadah selepas keputusan urin positif. Namewee sekali lagi mengaku tidak bersalah dan dibenarkan jamin dengan jumlah yang sama.
Kes berkenaan akan disebut semula di mahkamah pada 18 Disember depan untuk sebutan lanjut.
Sumber: Harian Metro








