KUALA LUMPUR – Rumah, bilik hotel dan tandas, kini bukan lagi tempat yang selamat bagi golongan wanita di negara ini. Jika tidak berwaspada, bila-bila masa saja golongan wanita boleh menjadi mangsa lelaki gila seks.
Kamera Intip (Spy Cam) yang berbentuk lampu mentol didapati sangat mudah diperolehi oleh ‘kaki skodeng’ di pasaran dengan harga serendah RM50 hingga RM100.
Lapor Harian Metro, mereka akan meletakkan kamera intip model baru itu di rumah atau bilik hotel untuk merakam kegiatan seks bersama pasangan atau merakam wanita yang sedang menggunakan tandas. Ini bagi tujuan memeras ugut atau menjadikan rakaman video tersembunyi itu sebagai koleksi mereka atau dimuat naik ke laman lucah.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, mendedahkan, mereka telah menerima lima aduan berhubung kes merakam bideo aksi wanita dalam tandas dan hotel menggunakan kamera berkenaan sejak tahun lalu.
Kes terbaru, seorang wanita membuat aduan diperas ugut oleh teman lelakinya selepas kegiatan seks mereka dirakam tanpa pengetahuannya.
“Mangsa yang mahu memutuskan perhubungan mereka diugut oleh suspek yang mahu menyebarkan video aksi intim mereka di media sosial.
“Tindakan lelaki itu membuatkan mangsa yang berusia 20’an itu malu dan tertekan. Bimbang ketelanjurannya itu diketahui rakan sepejabat dan keluarga, mangsa buat laporan polis.
“Memang tiada siapa yang menyangka objek yang menyerupai lampu mentol yang dipasang di dalam bilik itu adalah kamera intip,” katanya. – PIXEL MEDIA