Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Permohonan Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah tidak dibenarkan apabila Mahkamah Tinggi menolak semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum, hari ini.
Keputusan itu mengesahkan bekas Perdana Menteri berkenaan akan kekal menjalani baki hukuman pemenjaraannya di Penjara Kajang sehingga tempoh hukuman tamat.
Mahkamah tolak semakan kehakiman Titah Adendum
Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan tersebut selepas meneliti hujahan semua pihak serta membaca alasan penghakiman selama hampir sejam.
Najib sebelum ini disabitkan bersalah atas kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun serta denda RM50 juta.
Baca juga:
- 24 jam atau putus kerjasama, UMNO Puchong desak Yeo Bee Yin padam hantaran Najib
- Pemimpin DAP cadang perbincangan pengampunan penuh Najib
- ‘Tiada keperluan bersimpati dengan penjenayah’ – Tony Pua
Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan beberapa pihak sebagai responden termasuk Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan serta Kerajaan Malaysia.
Antara relif dipohon ialah supaya Titah Adendum, jika wujud, dilaksanakan dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Reaksi penyokong di luar mahkamah
Sementara itu, suasana di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertukar sebak apabila sebahagian penyokong Najib dilihat menitiskan air mata sejurus keputusan diumumkan.
Difahamkan, penyokong hadir dari pelbagai negeri termasuk kawasan utara Semenanjung, dengan ada yang menaiki bas sejak awal pagi bagi menunjukkan sokongan. Beberapa daripada mereka meluahkan kekecewaan terhadap keputusan mahkamah, namun menegaskan sokongan terhadap Najib masih berterusan.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu sekali gus menutup laluan segera kepada pelaksanaan tahanan rumah, sekali gus mengekalkan status Najib sebagai banduan yang menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Sumber: Kosmo! Online / Harian Metro








