Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kesemua sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dilaporkan telah dipintas oleh tentera Zionis Israel (IDF) pada jam 10.50 pagi waktu tempatan ketika menghampiri perairan zon merah.
Pusat Kawalan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengesahkan insiden itu berlaku pada jam 10.50 pagi waktu Malaysia, manakala hubungan komunikasi dengan kesemua kapal terputus pada jam 10.03 pagi.
Pengerusi MyCARE, Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, semua kapal berkenaan dirampas secara haram oleh rejim Israel, termasuk dua kapal yang membawa sembilan wakil Malaysia. Lapan daripada mereka menaiki kapal Conscience, manakala seorang lagi berada di atas kapal layar Umm Saad.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar memaklumkan, jarak dari lokasi pintasan ke Pelabuhan Ashdod mengambil masa lebih 15 jam perjalanan, menyebabkan tiada akses komunikasi dijangka sehingga 24 jam.
Delegasi Malaysia yang menyertai misi tersebut ialah Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali (Ketua Delegasi Malaysia), Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Syafik Shukri Abdul Jalil (wartawan Astro Awani), Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan Dr Maziah Mohammad.
Kamarul Zaman turut menjelaskan bahawa pihaknya sudah mengambil tindakan sewajarnya di darat sebagai persediaan menghadapi kemungkinan ini.
Baca juga:
- Trump mahu pimpin majlis damai Kemboja-Thailand sebagai syarat hadir ASEAN Summit
- Sultan Selangor kagum keberanian aktivis Malaysia dalam misi kemanusiaan ke Gaza
- ‘Lantik warden dalam kalangn cikgu lebih sesuai’ – Timbalan Menteri Pendidikan
Dalam pada itu, menerusi hantaran di Facebook, MyCARE memaklumkan bahawa sukarelawan Malaysia yang berada di atas kapal Conscience kebanyakannya terdiri daripada petugas kesihatan dan doktor di bawah organisasi berkenaan.
MyCARE dalam kenyataannya turut menegaskan bahawa misi pelayaran tersebut dijalankan sepenuhnya mengikut undang-undang antarabangsa dan berada di luar bidang kuasa Israel.
“Kami menyeru kerajaan serta rakyat Malaysia untuk mengecam jenayah ini dan menuntut pembebasan segera semua sukarelawan yang telah diculik. Pada masa sama, kami mendesak agar sekatan haram serta pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza dihentikan segera,” katanya.
Sumber: Sinar Harian, MyCARE