Murid Tahun Dua Patah Hidung Dipukul Rakan Sekolah | The Reporter

Murid Tahun Dua Patah Hidung Dipukul Rakan Sekolah

Murid lelaki tahun dua mengalami patah tulang hidung selepas dipukul oleh rakan kelas,
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang murid lelaki Tahun Dua di sebuah sekolah di daerah Kuala Terengganu mengalami patah tulang hidung dan retak tulang berdekatan mata selepas didakwa dipukul beberapa rakan sekolah dalam kejadian pada 30 Julai lalu.

Ibu mangsa, Rifka Amelia Bustomi Sofian, 37, berkata, insiden itu disedari selepas anak keduanya pulang ke rumah sekitar jam 4 petang dalam keadaan hidung berdarah dan muka lebam.

Menurutnya, pemeriksaan X-ray di sebuah klinik swasta mengesahkan tulang hidung anaknya patah sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan.

“Anak saya pernah beritahu sering dibuli sebelum ini, tetapi saya tidak sangka sampai tahap begini. Dia diserang oleh sekumpulan murid, ada yang memegang tangan, menolak dan menumbuk muka sehingga terjatuh,” katanya.

Baca juga:

Rifka Amelia berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada pertukaran kelas ketika Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) selepas anaknya didakwa merosakkan sarung meja. Beliau sudah membayar RM15 bagi menggantikan sarung baru.

Tambahnya, ini bukan kali pertama anaknya cedera di sekolah. Pada Jun lalu, mangsa pernah dibaling batu oleh murid lain namun tiada laporan polis dibuat ketika itu.

“Kali ini saya putuskan untuk mengambil tindakan undang-undang. Saya tidak mahu ada lagi murid lain menerima nasib serupa,” ujarnya.

Rifka menunjukkan gambar Xray milik anaknya.

Menurutnya, pihak sekolah memanggil ibu bapa murid terlibat untuk berbincang pada Isnin lalu, namun masih ada yang belum dikenakan tindakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.

“Siasatan awal mendapati kes ini dipercayai berpunca daripada ejek-mengejek dan telah dirujuk kepada pihak pengurusan sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts