Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang murid Tahun 5 yang sebelum ini dilaporkan kritikal selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata (gummy eyeballs) di Sungai Dua, Butterworth, meninggal dunia pada malam Khamis.
Mangsa, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Pulau Pinang (HPP) pada kira-kira jam 11 malam tadi.
Kematian Mohamad Fahmi disahkan oleh ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, yang menghubungi media melalui aplikasi WhatsApp.
“Saya baru dapat berita. Fahmi baru saja menghembuskan nafas terakhir. Ibu arwah baru ‘call’ saya tadi beritahu Fahmi dah tak ada,” katanya.
Jenazah Mohamad Fahmi dijangka dikebumikan di kampung neneknya di Permatang Binjai, Penaga.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Mohamad Fahmi dalam keadaan kritikal selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata ketika mengikuti kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth pada petang Selasa.
Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri selepas meminta izin untuk ke tandas kerana tersedak. Ketika berjalan ke tandas, dia rebah dan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro