Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan bahawa pemakaian tali leher oleh murid sekolah tidak diwajibkan mulai tahun 2026.
Menerusi satu kenyataan, keputusan itu dibuat hasil Mesyuarat Profesional Kementerian Pendidikan Malaysia (MPKPM) Khas Tahun 2025 yang bersidang pada 8 Disember 2025.
Bagaimanapun, KPM menjelaskan bahawa pemakaian tali leher masih dibenarkan sekiranya terdapat persetujuan bersama antara pihak sekolah dan ibu bapa murid.
“KPM menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak dibenarkan membuat sebarang paksaan atau tekanan terhadap murid berkaitan pemakaian tali leher ini,” menurut kenyataan itu.
Antara faktor utama dasar itu diperkenalkan adalah mengambil kira realiti iklim tempatan Malaysia yang panas dan lembap, yang didapati kurang sesuai untuk pemakaian tali leher setiap hari serta boleh menjejaskan keselesaan murid.
Baca juga:
- Menteri Agama puji Jep Sepahtu, sifatkan inspirasi kepada golongan asnaf
- MP Masjid Tanah cadang Hospital Putrajaya dinamakan sempena Tun Dr Hasmah
- Bajet 2027: Puad gesa tubuh badan khas pantau perbelanjaan kementerian
Selain itu, KPM turut mempertimbangkan aspek keprihatinan terhadap beban kewangan isi rumah, khususnya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak menjelang sesi persekolahan baharu.
KPM memaklumkan bahawa dasar ini diputuskan berdasarkan hasil penelitian terhadap keperluan semasa murid, selaras dengan usaha kementerian untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan inklusif.
Sementara itu, menerusi ruangan komen di media sosial, ramai ibu bapa menyokong tindakan tersebut dengan menyifatkannya sebagai langkah yang lebih praktikal dan mengambil kira keselesaan murid.








