KUALA LUMPUR – Seorang murid perempuan berusia 12 tahun meninggal dunia selepas pengsan di dalam kelasnya di Sekolah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak, semalam.
Menurut sahabat baiknya, Aina Shafiah Anuar, 12, mangsa, Lyana Shaqirah Amin, kelihatan pucat dan nampak kepenatan.
“Dia tidak mengadu sakit pada hari kejadian. Tetapi ketika dia menulis, dia pegang pensel dalam keadaan tangan menggigil, sebelum jatuh ke belakang dan pengsan,” katanya.
Susulan itu, Aina melaporkan perkara itu pada guru kelas dan Lyana dibawa ke Bilik Kesihatan sekolah tersebut sebelum dimaklumkan kepada ibunya.
Ibunya, Aidy Derwina Ismail, 40, menerima panggilan telefon yang mengatakan anak ketiga dari empat beradik itu pengsan di sekolah pada jam 9.50 pagi.
“Bila saya sampai, wajah dia sudah kebiruan. Kami panggil ambulans, tetapi ambulans tak dapat datang kerana sibuk. Kemudian cikgu sekolah dukung anak saya dan bawa ke Klinik Kesihatan Batu 8 sebelum dihantar ke Hospital Selayang. Ketika itu saya sudah tahu yang anak saya sudah tiada,” katanya.
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Pusu selepas waktu maghrib semalam.
Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
“Salam takziah dari saya dan warga KPM kepada keluarga Allahyarham Lyana Shaqirah binti Amin, murid kelas 6 Cekap, SK Sungai Pusu Gombak yang telah meninggal dunia jam 11 pagi tadi.
“Saya difahamkan, sewaktu memulakan tugas sebagai pengawas pagi tadi, Allahyarham telah jatuh pitam di sekolah dan sempat dibawa ke klinik kesihatan. Punca kematian masih belum diketahui,” katanya pada jam 7.32 malam semalam.
Di Facebook menteri berkenaan, ramai ibu bapa yang bimbang dengan keselamatan anak masing-masing yang terdedah secara terus pada cuaca El-Nino. Mereka mendesak KPM memberikan kelonggaran pada pihak sekolah membenarkan murid yang menjadi pengawas memakai kemeja lengan pendek dan tidak memakai tali leher. – PIXEL MEDIA