Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya segera mengaktifkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) seperti yang dilakukan semasa pandemik, bagi menangani cabaran ekonomi akibat ketidakstabilan geopolitik di Timur Tengah.
Dalam satu kenyataan, Muhyiddin berkata, perutusan yang disampaikan oleh Perdana Menteri gagal memberikan keyakinan bahawa kerajaan mempunyai pelan yang tersusun dan segera untuk menghadapi kemungkinan kegawatan global.
“Malaysia sebagai ekonomi terbuka tidak terkecuali daripada risiko kenaikan harga minyak, gangguan rantaian bekalan dan tekanan inflasi.Persoalannya, adakah kerajaan benar-benar bersedia?” ujarnya.
Beliau juga mempersoalkan keberkesanan langkah-langkah pentadbiran seperti penyelarasan BUDI95 dan kawalan diesel, yang dilihat tidak menjawab isu asas keterjaminan bekalan tenaga.
“Rakyat berhak mengetahui tahap sebenar rizab, tempoh ketahanan bekalan, serta pelan kontingensi sekiranya berlaku gangguan besar,” katanya.
Selain itu, beliau juga membangkitkan persoalan mengenai usaha membawa pulang kapal minyak dari Iran.
“Usaha membawa pulang kapal minyak dari Iran menimbulkan persoalan baharu mengenai tahap risiko sebenar terhadap bekalan tenaga negara.
“Untuk lebih telus, bolehkah kerajaan menjelaskan berapakah hasil yang diperolehi oleh Petronas dengan kenaikan harga minyak dunia pada masa ini dan berapa banyak yang boleh dikembalikan kepada rakyat dengan cara mengawal kenaikan harga minyak supaya tidak keterlaluan?” katanya.
Baca juga:
- Muhyiddin desak kerajaan aktifkan MTEN seperti krisis tahun 1997, COVID-19
- 18 ‘ulat foto’ ditahan kes pukul dua lelaki di KLCC
- ‘Kami tak pernah lupakan pendirian sokongan Malaysia’ – Kedutaan Iran
Rakyat perlu hala tuju jelas
Muhyiddin menekankan bahawa pendekatan kerajaan yang masih bersifat “sedang difikirkan” amat membimbangkan. Beliau menyeru kerajaan supaya segera mengaktifkan MTEN berstatus krisis dengan sidang harian yang melibatkan sektor awam dan swasta, serta merangka pakej rangsangan untuk melindungi sektor kritikal dan pemain industri, terutama PMKS.
Menurutnya, rakyat memerlukan halatuju ekonomi yang jelas, termasuk strategi menangani inflasi, jaminan bekalan makanan dan tenaga, serta perlindungan terhadap pendapatan dan kelangsungan perniagaan tempatan.
“Dalam saat genting ini, kepimpinan negara mesti tegas dan jelas. Kegagalan berbuat demikian hanya akan menghakis keyakinan rakyat dan pasaran terhadap keupayaan kerajaan mengurus krisis ini,” katanya.









