MRM mohon penjelasan lanjut DBKL isu reruai Street Dakwah | The Reporter

MRM mohon penjelasan lanjut DBKL isu reruai Street Dakwah

Reruai Street Dakwah MRM
Gambar: Facebook MRM.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Multiracial Reverted Muslims (MRM) tampil menjelaskan beberapa isu berhubung tindakan penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap aktiviti Street Dakwah mereka baru-baru ini.

Pengerusinya, Muhammad Azim Bin Abdullah Suhaimin berkata, sejak awal lagi pihaknya telah mengambil langkah proaktif mendapatkan kepastian berhubung keperluan lesen bagi menjalankan aktiviti di ruang awam.

Menurut beliau, pihaknya hadir sendiri ke Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL untuk mendapatkan penjelasan dan dimaklumkan bahawa tiada lesen diperlukan kerana tiada urusan perniagaan dijalankan serta aktiviti diadakan di ruang awam, bukan dalam premis perniagaan.

“Sepanjang 14 tahun Street Dakwah dijalankan, tiada larangan rasmi atau kompaun pernah dikeluarkan kepada MRM, termasuk pada hari kejadian barang-barang dakwah kami disita,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, sekiranya benar berlaku pelanggaran peraturan seperti didakwa, MRM sebagai organisasi yang menghormati undang-undang bersedia mengaku dan membayar kompaun sewajarnya.

Isu dakwaan menghalang laluan awam

Mengulas dakwaan bahawa reruai mereka menghalang laluan awam, Azim berkata lokasi yang digunakan adalah kawasan sama yang turut digunakan kumpulan buskers hampir setiap hari selepas aktiviti MRM tamat.

Malah, katanya, lokasi sama pernah digunakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan yang menyanyikan lagu “Dunia Indah Bersama” bersama buskers dalam program turun padang Street Dakwah santai pada 30 Januari 2026.

“Jika benar lokasi tersebut dikategorikan sebagai menghalang laluan, maka garis panduan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh terhadap semua pihak.

“MRM tidak memohon layanan istimewa, kami hanya memohon konsistensi dalam penguatkuasaan,” tegasnya.

Dakwaan tiada kerjasama dipersoal

MRM turut memandang serius kenyataan bahawa pihak DBKL menunggu selama 30 minit tanpa sebarang wakil tampil memberi kerjasama.

Menurut Azim, sukarelawan MRM berada di lokasi selepas selesai urusan ke tandas dan interaksi dengan pegawai DBKL telah berlaku. Rantai keselamatan di reruai juga dibuka dengan kerjasama wakil MRM.

Beliau mempersoalkan bagaimana struktur reruai boleh dialihkan sekiranya tiada wakil MRM di lokasi untuk membuka kunci dan berbincang, selain memaklumkan wakil yang sama turut mengambil gambar kehadiran kira-kira 12 petugas DBKL di reruai tersebut.

“Sekiranya sukarelawan boleh mengambil gambar tersebut, sudah pasti dia juga tampil di lokasi untuk berjumpa dan memberikan kerjasama kepada petugas,” katanya.

Justeru, beliau menyifatkan kenyataan bahawa tiada wakil tampil memberi kerjasama sebagai tidak selari dengan fakta yang berlaku di lokasi.

Baca juga:
Kekal hormati undang-undang

Dalam pada itu, MRM menegaskan mereka menghormati dan mendaulatkan undang-undang serta tidak memanipulasi isu berkenaan menjadi polemik perkauman atau agama.

“Kami tidak memainkan naratif mangsa. Namun kami berhak mempertahankan integriti organisasi apabila kenyataan yang dikeluarkan memberi gambaran yang tidak tepat,” katanya.

Sehubungan itu, MRM memohon agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memberikan penjelasan lanjut berhubung percanggahan fakta yang timbul supaya isu berkenaan tidak terus disalah tafsir oleh masyarakat.

Pada masa sama, MRM menyambut baik kenyataan pihak berkuasa tempatan itu yang menjelaskan bahawa aktiviti dakwah di ruang awam tidak dihalang, sekali gus mengesahkan bahawa program Street Dakwah boleh diteruskan seperti sebelum ini.

Menurut Azim, kehadiran mereka di ruang awam bukan sekadar aktiviti dalaman organisasi, sebaliknya menjadi ruang interaksi terbuka antara masyarakat pelbagai latar belakang termasuk Muslim, bukan Muslim, penduduk tempatan dan pelancong.

“Melalui pendekatan dialog terbuka, banyak salah faham terhadap Islam dan budaya masyarakat Malaysia dapat diperbetulkan secara langsung, bukan hanya melalui persepsi media sosial atau gambaran terhad,” katanya.

Beliau turut memaklumkan terdapat pelancong yang kembali berkunjung ke Malaysia semata-mata untuk ke reruai MRM pada tahun-tahun berikutnya hasil interaksi awal bersama mereka.

Related Posts