Sedang kami menikmati juadah di sebuah restoran, datang sepasang suami isteri dengan dua anak yang masih kecil. Mereka datang dengan menaiki motosikal.
Sebaik sahaja si isteri dudu dengan anak-anaknya, si suami terus beredar. Si suami memandang saya sambil mengangkat tangan dan tersenyum. Saya membalasnya dengan turut sama mengangkat tangan. Sahabat saya hanya membelek telefon pintarnya.
Hampir 15 minit berlalu, lelaki itu datang sekali lagi dengan membawa 4 orang anaknya. Sebaik anak-anaknya turun dari motosikal, si ayah terus beredar.
Kali ini, sahabat saya memandang dengan penuh minat.
Sama juga jarak waktunya, tidak sampai 15 minit kemudian lelaki itu datang lagi dengan 3 orang anaknya. Dan kali ini meja mereka agak riuh rendah.
“Feroz, anak orang itu 9 orang?” kali ini barulah sahabat saya berminat untuk bertanya.
Saya hanya mengangguk dengan tersenyum.
“Dia ulang alik angkut anak dia dengan motosikal?”
Saya angguk lagi.
“Engkau kenal mereka?”
Saya angguk lagi.
“Wow! Very the powerfull!” katanya.
Memang jarang, amat jarang menemui sebuah keluarga yang mempunyai bilangan anak yang ramai pada hari ini. Pasangan suami isteri itu melayan segala karenah anak-anak mereka dengan begitu gembira.
Bayangkan, anak remaja mereka dalam lingkungan usia 19 tahun, sehinggalah bayi kecil dalam usia 1 tahun. Macam-macam perangai, macam-macam keletah.
Menariknya, si ibu memanggil anak-anaknya dengan panggilan ‘sayang’. Lebih menarik lagi, si ayah kerap bangun dan duduk demi memastikan anak-anaknya dilayan dengan baik. Tiada langsung kedengaran suara menjerit, mengherdik mahupun menengking. Anak-anaknya bukanlah terlalu bersopan, ada juga yang nakal dan ada juga yang manja.
Setelah minuman tiba, si abang dan kakak menyuapkan adik-adik mereka. Ramai yang memandang keluarga itu dengan pelbagai persoalan bermain di minda masing-masing.
Sewaktu makanan telah siap terhidang, si kecil dalam lingkungan usia 6 tahun terus menadah tangan membaca doa. Doa yang dibacanya agak kuat. Sebaik doa habis dibaca, saya pula tergamam. Pelanggan yang memenuhi restoran itu mengaminkan doa itu. Si ibu dan ayah tersenyum dan ketawa kecil.
Keluarga ‘besar’ ini sungguh menarik perhatian pelanggan yang menjamu selera di restoran itu. Sebuah keluarga lain bangun setelah selesai menjamu selera. Mereka melintas di hadapan meja ‘keluarga besar’ itu. Lalu seorang wanita warga emas bertanya.
“Ini semua anak-anak kamu?”
Si ayah dan ibu mengangguk.
“Alhamdulillah,” sambil wanita itu mengusap kepala anak-anak pasangan itu yang masih kecil.
Sesekali si ayah berbuat jenaka denga anak-anaknya.
“Jangan ketawa, senyum sudah,” katanya yang membuatkan anak-anaknya ketawa semakin kuat. – Abang Long | PIXEL MEDIA