'Mohon kerajaan pertimbangkan cuti Aidiladha selama 2 hari' - MP Jempol | The Reporter

‘Mohon kerajaan pertimbangkan cuti Aidiladha selama 2 hari’ – MP Jempol

Cuti Aidiladha
Sumber Gambar: UMNO Online

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli(BN-Jempol), menyarankan kerajaan untuk meneliti semula jumlah cuti umum yang diperuntukkan bagi sambutan Aidiladha bagi memudahkan umat Islam meraikan perayaan berkenaan.

Katanya, tempoh cuti umum sedia ada bagi Aidiladha adalah tidak mencukupi, menyebabkan ramai rakyat tidak berpeluang meraikan perayaan itu dengan sempurna.

Justeru itu, beliau mencadangkan agar tempoh cuti umum ditingkatkan kepada dua hari bagi memudahkan urusan logistik rakyat, terutamanya bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman.

“Seksyen 3 Jadual Pertama Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) memperuntukkan satu hari cuti bagi sambutan Hari Raya Haji (Aidiladha) di seluruh negara, kecuali di Kelantan dan Terengganu yang diberikan dua hari cuti.

“Rasionalnya, tempoh cuti sehari ini menyebabkan ramai rakyat tidak dapat meraikannya di kampung halaman kerana faktor logistik. Sedangkan, melaksanakan ibadah korban serta meraikan Aidiladha dan Hari Tasyrik adalah sebahagian daripada ajaran Islam.

“Oleh itu, saya memohon kerajaan mempertimbangkan untuk menetapkan cuti Aidiladha selama dua hari di seluruh negara. Saya juga ingin mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Perdana Menteri mengenai cadangan ini,” katanya ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih atas Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Menerusi tinjauan di media sosial, ramai yang bersetuju dengan cadangan tersebut apatah lagi perayaan Aidiladha juga disertakan dengan ibadah korban.

Sumber: Harian Metro

Related Posts