'Merenyam, menggelitat & menggedik sebegitu, dah kenapa budak ni?' - Ceramah motivasi dikritik, persoal kewajaran pelajar buat pick up lines pada guru wanita - The Reporter

‘Merenyam, menggelitat & menggedik sebegitu, dah kenapa budak ni?’ – Ceramah motivasi dikritik, persoal kewajaran pelajar buat pick up lines pada guru wanita

Pakar motivasi atau penceramah seringkali dijemput untuk ke sekolah bagi memberikan kata-kata semangat buat pelajar untuk lebih berjaya. Jika dulu, kedatangan penceramah ini ditunggu-tunggu oleh pelajar untuk menaikkan semangat mereka.

Seolah berbeza pendekatan dulu dan sekarang, satu video tular memaparkan sebaliknya. Berdasarkan video tersebut, seorang pelajar lelaki diminta memberi pick up lines kepada seorang guru.

Situasi tersebut mengundang persoalan ramai dan kewajaran murid berkenaan diminta berbuat demikian.

“Adakah ini budaya baru? Style baru dalam industri penceramahan dan motivasi pendidikan anak-anak di sekolah hari ini?

“Aku faham pickup line ini sekadar gurauan. Tetapi apa matlamat anak-anak ini disuruh buat pickup line dekat seorang guru? Budaya apa yang cuba dibawa?

“Melihat aksi remaja itu merenyam, menggelitat dan menggedik sebegitu, aku merasakan sesuatu yang tidak kena. Dah kenapa budak ni? Memang budak-budak zaman la ni bila buat pickup line akan ada anjakan paradigma sebegitu ke?” soal lelaki ini.

Sekolah sebagai satu institusi mendidik

Lelaki ini juga berpandangan sekolah adalah sebuah institusi yang dijadikan sebagai satu tempat pembelajaran dan mendidik, tetapi situasi pelajar tersebut tidak dilihat menjurus ke arah matlamat yang jelas.

“Sudah pasti matlamat asas orang ke sekolah adalah untuk jadi bijak, jadi baik, jadi matang, jadi rasional, jadi manusia yang boleh memberi manfaat kepada dunia dan kemanusiaan.

“Aku tak nampak apa-apa matlamat yang jelas dengan membuatkan remaja itu menggilitat akan menjadikan dia pemenang Nobel Prize di masa hadapan,” katanya.

Secara jelas, dia menyatakan zaman sudah berbeza namun seharusnya kita mengekalkan sahaja budaya timur masyarakat kita.

“Aku jadi keliru. Zaman aku bersekolah dahulu. Aku pun ada cikgu yang baik dan cantik. Rasa sayang dan hormat terhadap mereka pun jauh menebal. Tidak pula aku berani nak bersikap miang hatta hanya sekadar gurauan.

Kekalkan budaya timur

“Aku kira kita kena ada budaya kita sendiri. Budaya timur yang telah menjadi budaya rasmi kita. Biarlah dunia barat terbalik, murid dan guru tiada beza. Kita wajar kekalkan budaya timur kita. Kenapa kita nak ubah budaya yang memang sudah baik?

“Teringat aku satu hadis pendek,

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda,

الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ، مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرَ اللهِ أَوْ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا

“Dunia ini dan seisinya adalah laknat kecuali mengingati Allah, yang membawa kepada taat kepada-Nya, orang alim (guru) dan pelajar.”

[HR Ibn Majah (4112) dan al-Tirmizi (2322)]

Sumber: Aliff Ahmad

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!