Kementerian Komunikasi dan Digital sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat telco bagi menurunkan harga perkhidmatan telekomunikasi di negara ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telco melakukan kajian bagi memenuhi aspirasi rakyat yang inginkan perkhidmatan telekomunikasi lebih murah.
“Saya sedang bincang dengan SKMM dan telco apa yang boleh kita buat untuk kurangkan kos. Ramai anak muda harapkan harga internet dan talian lebih murah, jadi saya minta mereka kaji apa yang kita boleh lakukan sekarang.
“Mungkin dalam minggu yang akan datang saya ada pengumuman khas,” katanya.
Selain itu, menurut Fahmi, beliau juga sedang meneliti langkah terbaik yang boleh dilakukan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta mengatasi isu capaian rangkaian 4G dan 5G yang dihadapi di sesetengah kawasan di negara ini.
Dalam pada itu, netizen menyambut baik usaha yang telah diumumkan oleh Menteri terbabit. Ada yang mengatakan sesetengah Telco sesuka hati menaikkan harga perkhidmatan mereka tanpa menghantar sebarang notis atau makluman.
Namun begitu kata netizen, bukan sahaja soal harga yang perlu diambil kira, malahan kelajuan capaian internet perlulah dipertingkatkan lagi terutamanya di kawasan pedalaman. Sebagai contoh negara seperti Thailand, walaupun kadar caj yang dikenakan sangat murah, tetapi capaian internet di negara mereka sangat memuaskan.
“Pergi Thailand beli simkad RM20, line tahan seminggu, data unlimited, pergi mana pun ada line,” kata Romy Izrilsyairi.
“Sama la saya pergi Bangkok line laju giler 5G data unlimited beli simkad kat Shopee je RM19,” kata Sophietalia pula.
Ada juga netizen mendakwa, mereka membayar dengan harga termasuk pakej tanpa terhad, tetapi hanya kawasan tertentu sahaja boleh diakses. Perkhidmatan yang dilanggan seolah-olah hanya lah capaian internet yang asas sahaja.
“Line very slow terutama di pedalaman kedah, rangkaian tertentu sahaja yang ada coverage. Plan internet yang dilangggan unlimited, tapi seolah guna basic data,” kata Shahrul Hafizi.
Sehubungan dengan itu, netizen mengharapkan agar pihak kementerian mengkaji dahulu kelajuan perkhidmatan talian panggilan dan internet di semua kawasan.
Sumber: Free Malaysia Today, Twitter