Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pihak berkuasa Indonesia telah mengesan dua kapal yang dipercayai berasal dari Malaysia terlibat dalam aktiviti mencuri pasir laut di perairan Kepulauan Riau, mengakibatkan kerugian sebanyak RM67 juta kepada negara itu. Menteri Laut Indonesia, Sakti Wahyu Trenggono, mendedahkan perkara itu semasa lawatannya ke kawasan tersebut.
Menurut Pengarah Jeneral Pengurusan Laut Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia (KKP), Victor Gustaaf Manoppo berkata, negara mengalami kerugian RM67 juta setahun akibat aktiviti tersebut.
“Jika lebih banyak kapal terlibat, jumlah kerugian ini boleh meningkat,” katanya dalam satu kenyataan media pada 10 Oktober lalu.
Pada 9 Oktober, Direktorat Jeneral Pengawasan Sumber Daya Kelautan dan Perikanan (PSDKP) berjaya mengesan dan menghentikan dua kapal yang sedang mengorek pasir di perairan Indonesia. Ketika disiasat, kedua-dua kapal tersebut tidak mempunyai dokumen sah, dan hanya dokumen peribadi nakhoda sahaja yang ditemui.
Warga tempatan & warga asing ditahan
Dua kapal yang terlibat, MV YC 6 (berkapasiti 8,012 tan) dan MV ZS 9 (8,559 tan), adalah kapal jenis dredger yang digunakan untuk mengorek pasir laut.
Kedua-dua kapal ini dikendalikan oleh nakhoda warga Indonesia, bersama 13 anak kapal dari China dan seorang lagi dari Malaysia. Semasa pemeriksaan, salah satu kapal didapati membawa 10,000 meter padu pasir laut hasil daripada aktiviti mengorek.
Menurut siasatan awal, mereka mengaku dapat mengorek 10,000 tan pasir dalam masa hanya 9 jam. Jika aktiviti ini dilakukan 10 kali sebulan, dianggarkan mereka telah membawa keluar sekitar 1.2 juta tan pasir dalam setahun.
Kenakan hukuman tegas
Victor juga menjelaskan bahawa menurut undang-undang Indonesia, setiap pihak yang menjalankan aktiviti di perairan pesisir wajib mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa. Selain itu, kapal-kapal ini sepatutnya dikenakan bayaran lesen, cukai eksport, bayaran penjualan, serta mematuhi peraturan alam sekitar.
Jika semua perkara ini diambil kira, negara berpotensi kehilangan lebih daripada RM67 juta setahun akibat aktiviti haram ini.
Pada masa ini, kedua-dua kapal masih disiasat oleh pihak berkuasa. Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia telah menubuhkan pasukan penyiasat khas untuk menentukan berapa lama aktiviti ini telah berlaku.
Pengarah Jeneral PSDKP, Pung Nugroho Saksono, menekankan bahawa hukuman tegas perlu dikenakan untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang. Ini penting untuk memberikan pengajaran kepada pihak yang terlibat dalam pencurian sumber alam negara. – Agensi








