Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Grand Prix Belanda 2025 menyaksikan Oscar Piastri menggegar Zandvoort dengan catatan masa 1:08.662, terpantas sepanjang hujung minggu dan menghadiahkan McLaren pole position penuh bergaya.
Lebih manis, Lando Norris melengkapkan dominasi pasukan apabila mengekori rapat di P2, hanya ketinggalan 0.012 saat daripada rakan sepasukan. Kejayaan ini menandakan kebangkitan semula McLaren dalam persaingan kejuaraan dengan dua kereta mereka kini menguasai barisan depan.
Kegembiraan McLaren bermakna tekanan bertambah buat tuan rumah Max Verstappen. Walaupun sorakan peminat Belanda bergema di setiap selekoh, Verstappen hanya mampu bermula di P3 selepas catatan masanya tidak cukup untuk menandingi McLaren.
Menariknya, seorang pelumba muda, Isack Hadjar dari Racing Bulls, mengejutkan ramai pihak apabila mencatat masa terbaiknya untuk bermula di P4. Pencapaian ini menjadi lonjakan besar yang mengangkat reputasi dirinya dan pasukan.
Baca juga:
- F1 kembali popular, tapi Malaysia masih ragu-ragu – Razlan tegaskan ia pelaburan, bukan kos
- McLaren sapu bersih barisan depan di Belanda, Piastri pole, Norris P2
- Ferrari terkandas lagi, McLaren & Aston Martin jadi tumpuan di Belanda

Ferrari dan Mercedes masih mencari rentak
Di belakang, George Russell menyelamatkan maruah Mercedes dengan kedudukan P5 yang membuktikan masih ada potensi untuk bersaing sekurang-kurangnya bagi podium. Ferrari pula menunjukkan prestasi bercampur. Charles Leclerc menutup kelayakan di P6, diikuti oleh Lewis Hamilton di P7 dengan perbezaan hanya 0.05 saat antara mereka. Ia mencerminkan jentera Ferrari masih perlu diperkemas untuk benar-benar menyaingi McLaren dan Red Bull.
Turut mencuri perhatian, Liam Lawson menempatkan dirinya di P8, sekali gus memberi Racing Bulls satu lagi hasil positif. Carlos Sainz yang kini bersama Williams bermula di P9, manakala Fernando Alonso dari Aston Martin melengkapkan 10 teratas di P10.
Kedudukan ini memberi gambaran bahawa perebutan poin esok bukan sahaja akan tertumpu di barisan depan, tetapi juga dalam kelompok pertengahan yang semakin sengit.
Esok penentu siapa juara sebenar
Zandvoort terkenal sebagai litar teknikal yang sempit dan sukar untuk memotong. Barisan depan yang dikuasai McLaren bakal menjadi kelebihan besar. Namun, sorakan ribuan penyokong Belanda pasti memberi suntikan motivasi buat Verstappen untuk memecah dominasi oren di hadapannya. Sementara itu, Ferrari dan Mercedes hanya mampu berharap strategi pit dan faktor luar seperti Safety Car mampu merubah nasib mereka.
Segala-galanya kini tertumpu pada hari perlumbaan. Adakah McLaren akan menukar dominasi kelayakan kepada kemenangan mutlak atau Verstappen bakal mengejutkan di laman sendiri?
Sumber: Laman rasmi Formula One