Ramai graduan masih menganggur, MBM tolak cadangan lanjut umur persaraan kepada 65 tahun | The Reporter

Ramai graduan masih menganggur, MBM tolak cadangan lanjut umur persaraan kepada 65 tahun

Presiden MBM beri kenyataan media, tolak cadangan lanjut umur persaraan 65 tahun
Presiden Majlis Belia Malaysia (kanan) menyuarakan bantahan terhadap cadangan menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Majlis Belia Malaysia (MBM) menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun, dengan menyifatkannya sebagai tidak sesuai untuk dilaksanakan dalam situasi ekonomi dan tenaga kerja negara ketika ini.

Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, langkah itu berisiko memberi kesan negatif kepada peluang pekerjaan anak muda dan pembangunan belia secara keseluruhan.

Katanya, jika umur persaraan dilanjutkan, ia akan mengehadkan peluang pekerjaan baharu kerana kadar penggantian pekerja dalam pasaran buruh semakin perlahan.

“Sebagai contoh, peningkatan usia persaraan dari 55 ke 60 tahun pada 2013 dikaitkan dengan kehilangan hampir sejuta peluang pekerjaan baharu kepada graduan dan pencari kerja muda.

“Dalam konteks semasa, Malaysia melahirkan lebih 300,000 graduan setiap tahun dan ramai daripada mereka masih bergelut mendapatkan pekerjaan tetap,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Cadangan menaikkan umur persaraan itu dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini.

Bagaimanapun, Mohd Izzat menyifatkan cadangan itu sebagai kurang sensitif terhadap jurang generasi dalam pasaran kerja masa kini. Katanya, isu umur persaraan bukan sekadar tentang keupayaan untuk terus bekerja, tetapi berkait rapat dengan soal keadilan dan keseimbangan dalam agihan peluang ekonomi.

“Ini bukan isu memilih antara yang muda atau yang tua, sebaliknya adalah soal memastikan wujudnya dasar yang adil untuk menjamin keterjaminan ekonomi semua pihak terutama generasi muda yang sedang membina kehidupan dan kerjaya.

“Meningkatkan umur persaraan bukan sekadar soal kemampuan bekerja, tetapi juga soal keadilan ekonomi dan hak generasi muda untuk memperoleh peluang yang saksama,” ujarnya.

Beliau turut berpandangan cadangan itu terlalu umum dan lebih cenderung mencerminkan keadaan penjawat tinggi dalam sektor profesional, bukan keseluruhan golongan warga emas di Malaysia.

Tambahnya lagi, tidak semua individu berusia 60 tahun ke atas berada dalam keadaan fizikal yang sesuai untuk terus bekerja.

“Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (2021), satu daripada tiga individu berusia lebih 60 tahun menghadapi kekangan dari segi keupayaan fizikal. Selain itu, mereka juga berisiko mendapat penyakit kronik seperti diabetes dan masalah jantung yang semakin meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, MBM menyeru agar kerajaan meneliti secara lebih menyeluruh kesan cadangan berkenaan, termasuk dengan mengambil kira kepentingan dan masa depan generasi muda dalam pembangunan ekonomi negara.

Related Posts