• Majlis Bandaraya Kuantan umum ejaan baharu Cerating ganti Cherating, rujuk pekeliling lama tahun 1984
• Penduduk, Ketua Kampung serta pelancong tempatan persoal logik penukaran dan nilai sentimental nama asal
• Netizen persoal keutamaan MBK, minta fokus isu lebih mendesak seperti infrastruktur, pelancongan dan tandas awam
Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengumumkan penukaran rasmi ejaan nama tempat pelancongan popular, Cherating kepada Cerating, berdasarkan rujukan kepada Pekeliling SUK.Bil.7/1984 dan Keputusan MMK ke-5/98.
Perkara itu dimaklumkan melalui satu hantaran Facebook MBK dengan visual memaparkan ejaan lama “Cherating” dan ejaan baharu “Cerating” bersama latar pantai. Namun, pengumuman itu mencetuskan pelbagai reaksi negatif dalam kalangan netizen dan penduduk setempat.
Kenapa ramai tidak setuju?
Keputusan menukar ejaan Cherating kepada Cerating mengundang bantahan ramai yang berpendapat ia tidak membawa manfaat sebenar dan hanya sia-sia. Nama asal dikatakan sudah lama menjadi sebahagian daripada identiti tempatan serta warisan pelancongan, malah lebih dikenali dalam kalangan pelancong.
Ramai juga berpandangan bahawa usaha sepatutnya ditumpukan kepada isu seperti infrastruktur, bukan pada pertukaran nama.
Beberapa pengguna media sosial turut menyindir perubahan ini sebagai langkah remeh yang sekadar menjimatkan satu huruf, tanpa memberi kesan nyata kepada pembangunan kawasan.
Sehingga kini, pihak MBK belum memberi respons lanjut terhadap bantahan awam dan rayuan agar nama asal “Cherating” dikekalkan.








