Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Mayat seorang wartawan bebas di India, Mukesh Chandrakar, 32, ditemui dalam tangki septik di kawasan rumah seorang kontraktor di Bijapur, Chhattisgarh, Jumaat lalu. Mukesh dilaporkan hilang pada Hari Tahun Baru, dan keluarganya membuat laporan polis mengenai kehilangannya.
Polis menemui mayat Mukesh selepas mengesan lokasi telefon bimbitnya. Tiga orang telah ditahan, termasuk dua saudara mangsa, sementara seorang lagi suspek utama, Suresh Chandrakar, dipercayai telah melarikan diri.
“Pada 2 Januari, tiada apa yang mencurigakan ditemui. Namun, pada pemeriksaan keesokan harinya, kami menemui mayat Mukesh dalam tangki septik yang ditutup dengan konkrit,” kata seorang pegawai polis.

Mayat mangsa menunjukkan kesan kecederaan serius akibat serangan objek tumpul. Mukesh dikenali kerana melaporkan isu rasuah dalam projek pembinaan awam dan mengendalikan saluran YouTube popular, Bastar Junction.
Ketua Menteri Chhattisgarh menyifatkan kejadian ini sebagai “sangat menyedihkan” dan memaklumkan pasukan penyiasat khas telah dibentuk untuk menyiasat kes ini.
Insiden ini mencetuskan protes daripada wartawan tempatan yang menuntut keadilan untuk Mukesh. Statistik menunjukkan purata tiga hingga empat wartawan terbunuh setiap tahun di India akibat kerja mereka, menjadikannya antara negara paling berbahaya untuk pengamal media.
Sumber: BBC








