'Masjid dan surau seharusnya jadi tempat paling damai', Fedtri Yahya ulas isu lelaki dihalau | The Reporter

‘Masjid dan surau seharusnya jadi tempat paling damai’, Fedtri Yahya ulas isu lelaki dihalau

Ahmad Fedtri Yahya menyuarakan pandangan mengenai peranan masjid dan surau sebagai tempat perlindungan dan ketenangan.
Ahmad Fedtri Yahya menegaskan masjid dan surau bukan hanya berfungsi untuk solat berjemaah sahaja. Gambar: Instagram Fedri Yahya.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Baru-baru ini tular satu rakaman video memaparkan seorang wanita menghalau seorang lelaki keluar daripada sebuah surau di Bandar Rimbayu, Teluk Panglima Garang, Selangor.

Tindakan itu mengundang kemarahan ramai netizen yang menyifatkan perlakuan wanita berkenaan sebagai tidak wajar, apatah lagi berlaku di sebuah rumah ibadah.

Penceramah bebas, PU Azhar Hilmi, dalam satu hantaran di Facebook, mendedahkan bahawa lelaki yang dihalau itu merupakan bapanya sendiri. Menurutnya, bapanya mempunyai rutin ke surau sejak awal pagi untuk solat Subuh, diikuti bacaan al-Quran sehingga waktu Dhuha, sebelum pulang ke rumah selepas menunaikan solat.

“Saya kecewa dengan layanan yang diberikan terhadap ayah saya,” luah beliau.

Sementara itu, personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya, turut memberikan respon terhadap insiden berkenaan. Menurutnya, rumah ibadah seperti masjid dan surau bukan sahaja tempat untuk solat, tetapi juga sepatutnya menjadi ruang untuk berehat, terutama buat musafir atau mereka yang tidak berkemampuan.

“Seharusnya surau atau masjid menjadi tempat berkumpul paling damai, iktikaf, ‘recharge’ diri, tenang… Selain ruang rehat musafir, terutama yang bukan golongan berada. Tak mampu nak sewa hotel dalam perjalanan, maka masjid menjadi tempat singgahan.

“Masjid akan imarah dan kembali kepada fungsinya. Bukan hanya solat berjemaah. Isunya, ada segelintir yang tidak mesra. Sentiasa menutup pintu. Kalau ada isu kecurian, elakkan tabungan fizikal. Lain kawasan lainlah corak pengendali,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak Ahli Jawatankuasa (AJK) Musolla Halaman 11, Bandar Rimbayu memaklumkan bahawa wanita dalam rakaman video tersebut bukanlah ahli AJK surau berkenaan.

“Surau ini dibuka kepada sesiapa sahaja yang ingin beribadat atau berehat. Bil utiliti pula ditanggung oleh pihak musolla hasil infaq orang awam.

“Status musolla sebagai harta bersama penduduk memang benar. Namun untuk tujuan ibadah, AJK tetap membukanya kepada semua,” jelas kenyataan itu.

@suraualjannahbdrrimbayu

‎Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya, Ustaz Fadhlullah selaku Imam Surau Al-Jannah Bandar Rimbayu ingin memberikan sedikit penjelasan berhubung isu yang telah tular semalam melibatkan Surau Al-Jannah Bandar Rimbayu. Pertama sekali, kami memohon maaf atas segala kekeliruan dan salah faham yang berlaku, sama ada daripada pihak pengurusan surau/musolla terbabit mahupun pihak luar. Pihak kami, Surau Al-Jannah Bandar Rimbayu tidak langsung terlibat dalam insiden yang berlaku dan viral mutakkhir ini. Sumber yang diterima juga menjelaskan bahawa pelaku bukanlah dari mana AJK musolla tersebut. Kami ingin menjelaskan bahawa pihak surau sentiasa terbuka untuk menerima sebarang teguran dan nasihat, dan kami akan terus berusaha memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa, insya-Allah. Kami juga ingin menyeru kepada semua ahli kariah dan netizen agar tidak menyebarkan perkara yang tidak benar dan tidak sahih. Semoga Allah SWT memberkati usaha kita semua, dan menjadikan Surau Al-Jannah Bandar Rimbayu tempat yang mendidik jiwa, bukan medan yang tak sepatutnya. ‎جزاكم الله خير الجزاء Sekian, wassalam. #sajbr #suraualjannahbandarrimbayu #viralpakcikkenahalaudariiktikafmusolla #pakcikituayahimamsurau #kamitakterlibattapikamikenatempias

♬ original sound – SURAU AL JANNAH BANDAR RIMBAYU – SURAU AL JANNAH BANDAR RIMBAYU

Related Posts