Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Masalah disfungsi erektil (ED) semakin membimbangkan di Malaysia apabila hampir 70 peratus kes dikaitkan sebagai punca utama perceraian dalam kalangan pasangan berkahwin.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni memaklumkan bahawa, dua daripada tiga lelaki di negara ini berisiko mengalami ED. Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukkan, sebanyak 31.6 peratus lelaki berusia 18 tahun ke atas mengalami ED dalam kategori sederhana hingga teruk.
Golongan lelaki berusia 40 tahun ke atas paling terkesan, dengan 69.5 peratus daripada mereka didapati mengalami masalah ini.
ED didefinisikan sebagai ketidakupayaan untuk mencapai atau mengekalkan ereksi yang mencukupi bagi melakukan hubungan seksual dengan memuaskan.
Selaras dengan situasi ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) bagi pengurusan ED. Garis panduan ini dibangunkan oleh panel profesional kesihatan dan bertujuan membantu pengamal perubatan memberikan rawatan yang menyeluruh dan berdasarkan bukti.
CPG tersebut telah diserahkan kepada fasiliti kesihatan, universiti dan pertubuhan berkaitan untuk digunakan sebagai rujukan rawatan ED secara profesional.
Dalam masa yang sama, individu yang mengalami ED digalakkan untuk mendapatkan rawatan awal di fasiliti kesihatan KKM. Masalah ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal dan mental, malah turut memberi impak terhadap keharmonian rumah tangga.
Bagi mengekang penjualan ubat tidak berdaftar berkaitan ED, KKM kini bekerjasama dengan platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok. Tindakan ini diambil susulan peningkatan produk yang dipasarkan secara dalam talian kononnya mampu meningkatkan prestasi seksual, tetapi sebenarnya boleh membahayakan kesihatan.
KKM turut menegaskan ED adalah satu penyakit yang memerlukan rawatan perubatan sewajarnya, setanding dengan penyakit kronik lain seperti diabetes, hipertensi dan bukannya masalah yang boleh diselesaikan dengan pengambilan ubat tanpa kawalan.
Sumber: Harian Metro








