Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Fenomena hubungan masa kini menunjukkan kecenderungan sebilangan lelaki mengalami tekanan emosi akibat tuntutan pasangan yang berlebihan terhadap perhatian dan layanan dalam hubungan. Pada masa sama, ramai wanita pula rasa tidak dihargai apabila mereka terpaksa menguruskan hampir semua perkara dalam rumah tangga. Situasi ini mencetuskan perbincangan tentang dua istilah yang semakin kerap digunakan, man child dan princess syndrome.
Kedua-duanya merujuk kepada sikap tidak seimbang dalam hubungan di mana seorang terlalu bergantung dan seorang lagi terlalu menuntut. Apabila ini berlaku, pasangan saling menyalahkan dan mula hilang rasa hormat antara satu sama lain.
Apa itu man child dan princess syndrome?
Man child merujuk kepada lelaki dewasa secara umur, tetapi masih bersikap kebudak-budakan seperti tidak mampu menguruskan diri, sukar tanggungjawab dan sering mengelak konflik. Sebaliknya, princess syndrome biasanya dikaitkan dengan wanita yang terlalu mengharapkan layanan istimewa seperti puteri, tanpa mahu memberi usaha setara dalam hubungan.
Kedua-dua sikap ini meletakkan beban berat di bahu pasangan masing-masing. Lelaki rasa dipergunakan dan lelah penuhi kehendak tanpa ruang dihargai manakala wanita pula rasa mereka berfungsi sebagai ibu, bukan isteri, kerana perlu urus segalanya seorang diri.
Menggugat kepercayaan dalam hubungan
Apabila perkara ini dibiarkan berlarutan, ia boleh merosakkan asas kepercayaan dan saling memahami dalam perhubungan. Ini boleh menyebabkan keletihan emosi, perpecahan hubungan, dan kegagalan untuk membina kehidupan yang stabil lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan kehidupan yang semakin mencabar.
Princess Syndrome dan Man Child bukanlah gelaran untuk menghina, tetapi refleksi kepada isu kematangan yang perlu ditangani. Dalam dunia yang menuntut kita untuk kuat dan bertanggungjawab, adalah penting untuk membina kematangan emosi, mental dan sosial agar kita tidak sekadar menjadi dewasa dari segi usia, tetapi juga dalam tindakan.
Memetik laporan dari Harian Metro,Dekan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FESS) Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Mohd Shawani Ahmad Sabri berkata, faktor utama yang mendorong kepada Princess Syndrome ialah gaya keibubapaan yang terlalu memanjakan anak.
Ibu bapa yang gagal menetapkan sempadan yang jelas dan tidak mengajar anak bertanggungjawab atas tindakan mereka, secara tidak langsung melahirkan anak yang rapuh dan tidak matang dalam menghadapi realiti kehidupan.
Niat ibu bapa mungkin untuk membahagiakan anak, tetapi tanpa panduan seimbang, ia boleh memberi kesan jangka panjang yang merugikan. Kesannya dalam kehidupan dewasa, individu yang terlalu dimanjakan sejak kecil akan membesar dengan kedua-dua sindrom berkenaan.
Namun, dalam sesebuah hubungan, setiap pasangan perlu kembali kepada keseimbangan dengan cara mengenalpasti corak tingkah laku yang menekan pasangan, belajar tanggungjawab terhadap emosi dan tindakan sendiri, berkomunikasi secara jujur tanpa sindiran atau menjatuhkan. Selain itu, hormati peranan masing-masing dan saling bantu dalam tugas harian.