Nampak tak dalam gambar itu? Cuba teka budak-budak sekolah itu tengah buat apa?
Sebenarnya budak-budak sekolah yang ramai-ramai itu sedang berebut nak membeli air Twister orange + ice dalam cup harga seringgit untuk satu cup. Cuaca panas sekarang, bijak abang kereta Honda ini mengambil peluang untuk berniaga. Dalam masa yang sama membantu menghilangkan dahaga budak-budak balik sekolah. Salute! Tetapi saya bukan nak cerita tentang itu.
Dalam ramai-ramai budak di situ, ada terselit anak saya, Zarif Haikal di tengah-tengah asakan budak-budak yang lebih besar dan tinggi dari dia. Ini kali pertama Zarif meminta izin dengan saya untuk membeli air. Mungkin disebabkan dia tengok Twister orange agaknya.
Masa permulaan Zarif beratur, hanya ada 4-5 orang sahaja yang berada di situ sehinggalah semakin ramai dan semakin tenggelam dia dari pandangan saya. Budak beli air ini bersilih ganti, tetapi Zarif belum selesai lagi.
Saya tengok jam, dah hampir 15 minit. Dalam hati terdetik, perlu ke saya pergi dan tolong dia? Tetapi saya tak pergi. Ini pengalaman pertama dia dan saya mahu dia melalui sendiri dan belajar. Tetapi dalam hati saya juga turut berdoa.
“Ya Allah, permudahkanlah urusan anakku. Adakanlah rezeki dia Ya Allah,” doaku tanpa henti walaupun beli air saja kan?
20 minit kemudian, saya ambil keputusan untuk turun dan pergi tengok. Oh, Zarif sudah berada di hadapan. Alhamdullilah, bisik hati saya. Tiba-tiba, abang Honda itu berkata,
“Maaf dik, air dah habis,” katanya.
Allahu, hati saya sebak, Zarif menahan air mata. Saya faham perasaan dia, sedih, kecewa dan teringin. Mungkin dia dahaga sangat. Dia usaha tetapi tak dapat. Air je pun, bukannya tak boleh beli selepas ini. Tetapi saya tahu dia usaha, itu usaha dia. Tetapi tak dapat seperti yang dia harapakan. Pasti dia kecewa.
Masuk dalam kereta, saya pegang tangan dia kemas-kemas. Saya usap rambut dia, air mata dia berguguran dan menahan sedu.
“Zarif, mama bangga sangat-sangat dengan Ayif. Dalam ramai-ramai budak yang beli air itu, anak mama seorang saja yang beratur dan kekal beratur. Walaupun orang potong barisan, orang tolak, orang berebut, Ayif tak ikut sama berebut-rebut. Ayif tetap beratur, Ayif seorang saja.
“MashaAllah, hebat. Mama bangga sangat. Bayangkan kalau sekecil-kecil peraturan seperti beratur pun kita tak dapat buat, peraturan-peraturan yang lain apatah lagi? Senang-senang saja kita langgar. Tetapi Ayif berjaya, Ayif berjaya buat dan tak ikut orang. Mama bangga, mama yakin rezeki Ayif lebih besar sebenarnya hari ini,” terang saya padanya dalam sebak.
PERTAMA
Ayif dapat belajar, bukan senang nak mendapatkan sesuatu. Kena berusaha sebab selama ini Ayif minta saj dari mama. Semua mama sediakan depan mata Ayif. Ayif tak tahu macam mana susah mamam usaha. Tetapi hari ini Ayif dapat belajar, bkan senang nak mendapatkan sesuatu.
Kita buat cara yang betul tetapi akan sentiasa ada orang yang buat apa saja tak kira betul atau salah untuk dapatkan benda yang dia nak. Kala kita tak kuat, kita akan ikut dia juga sama-sama buat perkara yang tidak betul. Tetapi Alhamdulillah Ayif tak begitu. Allah bagi Ayif kuat dan sabar. Syukur sangat-sangat.
KEDUA
Rezeki kita Allah yang tentukan. Kalau Allah kata bukan rezeki kita, dah ada depan mata sekali pun kita takkan dapat. Kena sentiasa memohon pada Allah dan berbaik sangat pada Allah sebab Allah saja yang tahu apa yang baik dan buruk buat kita dan masa bila yang terbaik buat kita.
Kena usaha, sabar dan redha. Kala udapat, cakap terima kasih Allah, Alhamdulillah. Kalau tak dapat pun cakap terima kasih Allah. Jangan marah atau salahkan Allah.
KETIGA
Saya tanya “Ayif, kalau tiba-tiba Ayif nampak budak depan Ayif yang dapat air yang last sekali tadi dia minum sikit saja kemudian dia buang air itu, apa perasaan Ayif?”
“Ayif marahlah!” katanya.
Haa, cuba Ayif bayangkan makanan Ayif, air Ayif selama ini kalau Ayif dah tak nak sebab tak sedaplah, dah kenyanglah. Ayif buang begitu sahaja. Agak-agak budak-budak di Palestine, Syria tengok, diorang marah Ayif tak? Diorang nak makan tetapi tiada makanan. Kita ada makanan tetapi kita main buang sahaja.
Sama seperti air tadi. Ayif nak air itu tetapi Ayif tak dapat. Kalau tengok budak lain buangkan, Ayif marahkan.
Ayif tunduk dan angguk.
Sepanjang pemanduan, kami berdua senyap dalam kereta. 10 minit selepas perbualan tadi, Zarif bersuara.
“Mama, Ayif dah faham dah,” katanya.
“Dah faham apa?” saya terpinga-pinga.
“Ayif dah faham maksud syukur,” katanya senyum semanis-manis senyuman dia berikan.
Allah, tersentak hati saya. Dia berfikir rupanya. Anak 8 tahun ini berfikir selepas apa yang saya sampaikan pada dia. MashaAllah, saya peluk dia.
“Alhamdulillah, kan mama dah cakap Allah beri rezeki yang lebih besar untuk Ayif hari ini. Allah beri rezeki belajar dan rezeki kefahaman,” kata saya.
Dia tersenyum gembira dan bangga. Sampai saja di rumah, dia terus buka peti sejuk, dahaga sangat agaknya. Tengok-tengok ada dua botol besar orange Twister.
“Mama! Tengok ni! Ya Allah, rezeki Ayif. Saya beli dua hari lepas tetapi lupa pula ada di rumah.
Hebatnya Allah, maha hebat. Tarbiah melalui kehidupan seharian melalui sesimple perkara. Tetapi tarbiah Allah menusuk jauh ke dalam hati. Allahu. Nak mendidik anak, mama pun dapat belajar sekali. Pengalaman, tidak ada yang tidak berguna. Alhamdulillah. – Amanadia | PIXEL MEDIA