Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Malim gunung yang mengiringi pendaki, Allahyarham Mustaqqeem Mansoor, menegaskan dia tidak berniat meninggalkan mangsa sebelum ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat, Muallim, Perak, pada 16 Oktober lalu.
Rahimi, 50, yang bertugas sebagai Malim Gunung Perhutanan (MGP) berkata, sepanjang hari ketiga pendakian, arwah beberapa kali menyatakan dia dalam ketakutan namun tidak menjelaskan apa yang ditakutkan.
“Saya mengiringi arwah sejak hari pertama pendakian hingga hari ketiga, walaupun arwah mengalami kekejangan otot namun dia masih boleh berjalan secara perlahan menyebabkan kami jauh ketinggalan dengan kumpulan pertama dan kedua.
“Ekspedisi Trans Temangkok mendaki Gunung Liang dilakukan secara ‘compress’ mengambil masa hanya tiga hari, kebiasaan ekspedisi mengambil masa antara empat hingga lima hari. Faktor terlalu mengejar masa mungkin menyebabkan arwah tertekan dan kepenatan.
Baca juga:
- Anwar tunaikan janji MA63, Pemberian Khas Sabah meningkat hingga RM600 juta
- Suami naik angin selepas pengawal minta isterinya tutup aurat di Masjid Selat Melaka
- ‘Saya influencer, tak perlu bayar kan?’ – Pemilik restoran nasi kandar kongsi pengalaman lucu pelanggan
“Saya bersama arwah di puncak Gunung Liang pada hari ketiga, selepas makan dan minum, kami memutuskan untuk turun kira-kira jam 10.30 malam. Keadaan arwah ketika itu agak lemah tapi masih mampu berjalan dengan pelahan,” katanya.
Rahimi mendakwa arwah berkelakuan pelik apabila seolah-olah memerhatikan sesuatu di sekelilingnya ketika berjalan. Apabila ditanya, arwah menyatakan dia melihat akar pokok bagi mengelak tersangkut kaki.
Menurut Rahimi, dia turun terlebih dahulu bagi meninjau laluan sambil menunggu arwah di sepanjang perjalanan.
“Saya yakin arwah dapat turun tanpa sebarang masalah. Pada masa sama saya berusaha mencari kawasan terdapat talian telefon untuk menghubungi seorang lagi MGP dan penganjur,” katanya.
Sebagai ‘sweeper’, Rahimi berkata dia tidak berniat berpisah dengan arwah, sebaliknya menunggu di beberapa lokasi termasuk di Kem 7E.
“Saya tidak menolak kemungkinan arwah naik semula ke puncak Gunung Liang selepas beberapa meter turun. Saya tidak lagi mampu berpatah balik mencari arwah disebabkan terlalu penat selain kecederaan jari kaki hingga terpaksa menggunakan selipar untuk meneruskan perjalanan.
“Saya tidak menyangka perkara buruk boleh berlaku. Kegembiraan berjaya menawan puncak Gunung Liang bertukar jadi sejarah hitam dalam hidup saya selepas dua tahun sebagai MGP dan lebih 10 tahun dalam aktiviti pendakian,” katanya.
Rahimi mendakwa menerima bayaran RM850 daripada penganjur yang menetapkan cuma tiga hari ekspedisi, namun ia berlarutan hingga lima hari.
Baca juga:
- Ratusan nelayan Indonesia kepung kapal Petronas Carigali, tuntut pampasan
- Remaja hidap kanser tulang meninggal dunia, sempat hadiahkan telefon buat adik
- Pelajar dibuli, dipaksa makan makanan pedas hingga dimasukkan ke ICU
Dua Malim Gunung digantung sementara, siasatan diteruskan
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menggantung sementara dua malim gunung yang mengiringi kumpulan ekspedisi itu bagi memberi laluan kepada siasatan menyeluruh.
Timbalan Pengarah Pembangunan JPNP, Mohd Yussainy Md Yusop, berkata tindakan itu perlu bagi memastikan siasatan dijalankan secara adil tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak.
“Dua malim gunung terlibat digantung tugas sementara bagi memberi kerjasama kepada semua agensi penyiasat seperti polis, bomba dan jabatan hutan,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak termasuk pendaki, penganjur serta malim gunung yang mengiringi kumpulan berkenaan akan dipanggil memberi keterangan sebelum sebarang keputusan diambil.
Tambahnya, laporan lengkap akan dibentangkan kepada Ketua Pengarah Perhutanan Malaysia, selain semakan semula prosedur keselamatan termasuk penggunaan teknologi pengesanan atau cip lokasi bagi memperkukuh pemantauan di laluan berisiko tinggi.
“Kita akan tengok dari aspek pengurusan risiko, kelemahan, prosedur dan pelanggaran peraturan yang mungkin berlaku. Semua itu akan dijadikan asas bagi tindakan pembetulan dan penambahbaikan di peringkat jabatan,” katanya.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian