Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Masa aku baru nak gerak pergi kerja, dapat panggilan dari Ayah.
“Bawa semua adik beradik datang. Mak masuk ICU,” katanya.
Aku dah mula menggigil. Sampai di hospital, aku terus berlari masuk ke ICU. Luluh hati tengok muka mak pucat sangat. Mak minta aku tepuk belakang dia, mak takut terlelap.
Nurse sibuk pasang wayar apa semua. Aku dengar nurse kata, “Lemah sangat ni,” membuatkan aku menangis tak berhenti-henti. Aduh, takut sangat.
“Mak tenat, tak boleh buka mata, jangan bercakap, nanti lagi mak sakit,” kata saya pada mak.
“Mak tak boleh bernafas,” jawabnya dalam keadaan yang tak bermaya.
Seksa tengok mak pakai apa benda alah di muka tu, gas tu lebih dua minggu masuk kuman di paru-paru. Hmm.. rupa-rupanya memang dah kena.
Tiba-tiba keesokan harinya, doktor tidurkan mak semula. Doktor kata, mak tak boleh sedar lama-lama. Aku dapat rasakan yang itu adalah kali terakhir aku tengok mak.
Masa mak tak sedar, aku duduk sebelah dia dan bermain dengan jari jemarinya.
“Mak, bangunlah cepat,” aku rindukan tangan itu.
Ayah ajak kami adik beradik berkumpul.
“Korang semua kena sabar, doa banyak-banyak. Kita nak tak nak kena lepaskan mak pergi,” katanya.
Ya Allah, luluhnya hati mendengar.
Hampir dua minggu aku tunggu mak sedar, cuma dua hari itu saja yang mak sedar sekejap. Tetapi akhirnya mak pergi.
Nurse dah panggil semua masuk dalam ICU. Siapa yang ada di situ semua masuk. Tunggu masa mak pergi saja. Mata aku sibuk membaca bacaan jantung mak.
Masa itu jam 12 malam, semua baca Yaasin sebelah mak. Ayah di bahagian kepala mak, aku di bahagian kaki. Aku pergi depan, mengucap di telinga mak. Masa mengucap, aku menangis tetapi tak teresak sangat sebab takut mak dengar. Air mata mak mengalir. Aku cium dahi mak lama sangat.
Masa itu, aku dah redha sebab bacaan jantung mak semakin menurun. Dari 120 – 110 – 99 – 80 – 70 – 65 – 55 – 43 – 22… mak pergi.
Aku terus peluk kakak dan meraung kuat. Aku tak berhenti cakap, “Ya Allah, ya Allah, ya Allah,”. Entah kenapa aku tak peduli langsung pesakit lain.
Aku terus peluk ayah. Ayah menangis.. susah aku nak tengok ayah menangis.
“Mak dah tak ada. Ayah tak biasa tak ada mak kau,” kata ayah.
Allahu.. Al-fatihah buat ibu saya yang telah pergi meninggalkan kami. Ya Allah, semoga roh ibu ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin. – Aggy Eira | PIXEL MEDIA