Setelah beberapa lama bersengketa, akhirnya pelawak dan kakak iparnya, Hidayah menemui titik pendamaian. Semalam menerusi siaran langsung di TikTok, Ali berkunjung ke rumah kakak iparnya bagi menyerahkan wang berjumlah RM75,000 seperti yang diperintahkan mahkamah.
Menerusi video tersebut juga, Ali dikatakan turut membacakan surat yang ditandatangani bersama kakak iparnya.
“Dengan ini saya berharap selesainya urusan ini, tiada lagi dakwa-dakwi tentang urusan hutang ini. Oleh itu, saya juga berharap pihak puan dan keluarga tidak lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh mengaibkan saya dan keluarga.
“Atau memburuk-burukkan berkenaan keluarga saya di mana-mana platform media atau sebarang unsur video yang boleh mengaibkan saya.
“Akhir sekali saya berharap pihak Puan Hidayah dan keluarga memberi kerjasama baik berkenaan urusan ini. Sekiranya isu ini berbangkit semula, pihak kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya.
Siti Nor Hidayah membalasnya dengan mengharapkan perkara yang sama.
“Bagi pihak saya pun sama juga,” katanya.
Dalam pada itu, Ali juga menyatakan kesyukuran dengan apa yang berlaku. Dia juga mengambil kesempatan untuk bertemu dengan anak saudaranya, Syed Uthman Hamzah Syed Umar Mokhtar. Kelihatan Ali memeluk dan mencium Hamzah beberapa kali.
“Syukur ya Allah dengan ujian ini. Mak, abang! Angah dah selesai semuanya. Berjumpa dah mereka sebagai saudara kandung.
“Insya-Allah Syed, Sharifah legacy kita tak akan putus,” tulisnya.