Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Beberapa individu dilaporkan telah membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan oleh seorang lelaki bergelar Datuk Seri menerusi satu skim pelaburan yang dikatakan patuh syariah.
Susulan isu itu tular, nama suami kepada selebriti terkenal Heliza Helmi, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, turut dikaitkan sebagai individu terlibat dalam skim berkenaan.
Bagaimanapun, Mahadi menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa beliau bukan pengendali skim pelaburan terbabit.
Menurut laporan Kosmo, Mahadi menjelaskan bahawa peranannya hanya sebagai wakil yang memperkenalkan peluang pelaburan berkenaan berdasarkan maklumat dan jaminan yang diberikan oleh syarikat terlibat. Beliau turut mendedahkan bahawa dirinya pernah melabur lebih RM20.7 juta dalam dua entiti berkaitan antara tahun 2021 hingga 2023 kerana yakin dengan struktur dan dokumentasi yang kelihatan sah serta meyakinkan pada ketika itu.
“Urusan pelaburan termasuk pembayaran dan penyerahan dokumen dilakukan secara langsung antara pelabur dan syarikat. Saya tidak pernah memegang wang pelabur atau terlibat dalam urusan kewangan mereka.
“Kami diberi taklimat oleh pihak syarikat, lengkap dengan surat perjanjian, pengesahan penasihat syariah dan semua dokumen yang nampak teratur. Kalau tidak, saya sendiri tidak akan berani melabur sebanyak itu,” katanya.
Mahadi juga meluahkan rasa kesal dan bersalah kerana memperkenalkan skim pelaburan tersebut yang akhirnya menyebabkan kerugian kepada ramai individu termasuk rakan dan kenalan rapat.
“Saya jaga nama saya selama ini. Hari ini saya dikecam, dihukum di media sosial. Tapi saya tidak akan lari. Saya akan terus beri kerjasama dan bantu pelabur dapatkan keadilan,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat dan kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.








