Lori lebih muatan punca jalan rosak, pengirim & penerima pun bakal dikenakan tindakan | The Reporter

Lori lebih muatan punca jalan rosak, pengirim & penerima pun bakal dikenakan tindakan

Menteri Pengangkutan Anthony Loke membangkitkan isu lori lebih muatan yang menyebabkan jalan raya cepat rosak, dengan latar belakang jalan berlubang dan lori kargo berat.
Lori lebih muatan punca jalan rosak, pengirim & penerima pun bakal dikenakan tindakan | Sumber gambar: Berita Harian, Free Malaysia Today

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Masalah kenderaan lebih muatan dikenal pasti antara punca utama jalan raya di Malaysia cepat rosak dan membahayakan keselamatan pengguna, terutama penunggang motosikal.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata isu itu bukan sahaja menyumbang kepada kemalangan tetapi turut meningkatkan kos penyelenggaraan jalan raya yang ditanggung kerajaan setiap tahun.

“Orang ramai selalu mengadu kenapa jalan di Malaysia berlubang-lubang. Antara punca besar ialah masalah lori lebih muatan.

“Bila jalan rosak teruk, bukan sahaja kos penyelenggaraan meningkat malah risiko kepada pengguna, terutama penunggang motosikal, juga tinggi,” katanya pada sidang media di Parlimen semalam.

Baca juga:

Pengirim dan penerima juga akan dikenakan tindakan

Bagi menangani masalah itu, kerajaan sedang merangka pindaan undang-undang bagi membolehkan tindakan diambil bukan sahaja terhadap pemandu dan syarikat pengangkutan, tetapi juga pengirim serta penerima barangan yang terlibat dalam aktiviti lori membawa muatan berlebihan.

Anthony berkata langkah itu penting untuk memastikan keseluruhan ekosistem industri logistik bertanggungjawab dan mematuhi had muatan yang ditetapkan.

“Kita akan ambil tindakan tegas selepas ini. Sekarang ini apabila kesalahan melebihi had muatan berlaku, hanya pemandu dan syarikat pemilik kenderaan dikenakan tindakan,” katanya.

‘Road to rail’

Beliau berkata pemandu lori dan syarikat pengangkutan sering ditekan oleh pemilik kuari atau kilang untuk membawa muatan berlebihan bagi mengurangkan kos operasi dan bersaing antara satu sama lain.

Justeru, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar had muatan ditetapkan termasuk memanggil industri kuari, besi dan beberapa sektor lain untuk diberi peringatan.

Kerajaan juga menggalakkan dasar ‘road to rail’ dengan memindahkan pengangkutan kargo berat dari jalan raya ke kereta api bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kerosakan infrastruktur.

“Kita nak menggalakkan kargo berat diangkut melalui kereta api, bukan di jalan raya. Ini selari dengan dasar road to rail yang kita sedang laksanakan,” katanya.

Sumber: Bernama

Related Posts