Anak perempuan kepada pelakon Azhar Sulaiman, Kasih Iris Leona, semalam memuat naik ciapan di Twitter yang mengatakan dia memerlukan bantuan ahli terapi.
Bagaimanapun, Leona tidak menyatakan sebab-sebabnya. Hal itu membuatkan netizen mengandaikan dia berdepan dengan kecaman yang diterima melalui media sosial berhubung beberapa hantaran kontroversi yang dimuat naiknya sebelum ini.
Bagi netizen, walaupun mendapatkan bantuan daripada ahli terapi itu bagus tetapi Leona juga perlu berusaha memperbaiki dirinya untuk menjadi lebih matang dan bertanggungjawab.
“Ya tetapi awak juga perlu dewasakan diri dan matangkan diri. Kematangan mempunyai kaitan dengan kecerdasan dan keupayaan untuk belajar daripada pengalaman. Sebab itu seseorang yang matang mempunyai kesedaran tentang kehidupannya sendiri untuk membuat keputusan, bukan hanya tahu mengeluh,” kata Siddique Bolt.
“Apa kata berehat sementara daripada melayari media sosial. Percayalah, dengan cara ini boleh memberi impak kepada diri kita sendiri,” kata 2Kim.
“Berehat sebentar daripada media sosial Leona. Awak masih muda dan segala komen negatif itu akan memberi kesan yang tidak baik pada kesihatan mental awak. Akhirnya menjejaskan pelajaran awak. Berehat dan datang semula sebelum awak okay,” kata Blackeystars.
Sementara itu, ada yang menasihatkan Leona mengadu dan mendekati diri dengan Allah, serta tidak meninggalkan solat lima waktu.
Terdahulu, Leona dikecam netizen selepas dirinya memuat naik beberapa hantaran di media sosial yang menunjukkan dirinya berpakaian seksi. Meskipun telah ditegur oleh bapanya, Leona dilihat tidak mengambil pusing akan teguran itu.
Kemuncaknya, Leona dilihat tertekan apabila dia mengeluarkan kenyataan di Twitter membidas segala tohmahan yang dilemparkan terhadapnya, termasuk menyelar pihak media hiburan menjadikan dirinya sebagai bahan berita untuk menarik kecaman netizen.
Sumber: Twitter Leona