Lelaki yang menunjal kepala seorang wanita dalam video tular di media sosial baru-baru ini, dijatuhi hukuman penjara selama tujuh hari atas kesalahan mengasari mangsa.
Tertuduh, Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan dan mengugut mangsa dalam kejadian di Lata Iskandar, Isnin lalu.
Tertuduh didakwa menakutkan mangsa, Amiera Atiqah Shahrizan, 24, dengan kata ugutan, ‘pecah muka kau sat lagi’ di Kilometer 22 Jalan Tapah-Cameron Highland, 5 Juun, 5.33 petang.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa dan dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Untuk pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa pada masa dan lokasi yang sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya J Geetha dan tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman paling ringan atas alasan dia menanggung isteri yang hamil lapan bulan dan anak berusia empat tahun dengan pendapatan bulanan sebagai penyelia kilang, RM4,000.
Mahkamah memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara tujuh hari bagi kedua-dua pertuduhan itu secara serentak.
Sumber: Harian Metro