Lelaki yang didakwa menunggang melawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang warga emas menunggang motosikal Ducati di Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) pada 14 Jun lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, hari ini.
Tertuduh, Mudzyadaha Mohammad, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah. Malah memaklumkan dirinya sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) dan masih menerima rawatan sebagai pesakit mental.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang motosikal secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian terhadap Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64.
Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, selain meminta tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis sehingga kes selesai.
Peguamnya tertuduh daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail memohon jaminan rendah. Anak guamnya juga telah menerima surat rujukan daripada doktor semasa ditahan di sebuah hospital di Kajang dan mendapat ubat untuk rawatan psikiatri.
Anak guamnya itu juga merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Selain itu, tertuduh juga kehilangan kerja sebagai pemandu kereta api sehingga mengalami tekanan.
“Semasa kejadian, anak guam tidak berfikir dengan waras sehingga berlakunya pelanggaran. Jadi, saya mohon agar mahkamah membenarkan dia menjalani ujian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Setelah mendengar permohonan tersebut, Majistret Amalina Basirah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin. Lesen memandunya juga perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. Kes ditetapkan 10 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh juga diarahkan menjalani ujian psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro








