Seorang lelaki Chile telah dihalau keluar dari rumah oleh keluarganya selepas Pendaftaran Awam tersilap mendaftarkannya sebagai bapa kepada dua anak Venezuala yang tidak pernah ditemuinya.
Sehingga awal bulan ini, Leonardo Sepulveda Rodriguez, berasal dari Santiago, Chile telah menikmati kehidupan yang aman dan bahagia bersama isterinya selama 30 tahun dan dua anak mereka.
Bagaimanapun segala-galanya musnah pada 5 Julai lalu, apabila anaknya pergi ke Pejabat Pendaftaran Awam tempatan untuk mendapatkan beberapa dokumentasi yang diperlukan untuk Mahkamah Keluarga dan mengetahui bahawa Leonardo telah mengiktiraf dua kanak-kanak Venezuela itu sebagai anaknya.
Apabila disoal mengenai perkara itu, Leonardo tercengang dan menegaskan dia tidak pernah melancong ke luar negara. Apatah lagi mempunyai dua anak di Venezuela. Belum sempat memberi penjelasan untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah, Leonardo telah dihalau keluar dari rumah oleh isterinya.
“Kerosakan yang berlaku kepada saya dan keluarga adalah amat dahsyat. Sehingga 5 Julai, saya pulang ke rumah memeluk anak-anak saya, isteri dan cucu, yang paling saya sayangi. Kini saya tidak lagi boleh berbuat demikian,” katanya.
Kehidupan Leonardo musnah hanya disebabkan kesilapan kakitangan pihak Pejabat Pendaftaran Awam. Setelah diperiksa, rupa-rupanya nama Leonardo mirip dengan Leonard Rodriguez Sepulveda.
Pihak Pejabat Pendaftaran Awam mengakui kesilapan mereka dan meminta Leonardo memberikan masa untuk mereka memperbetulkan data itu semula.
Dalam satu temubual bersama CHV Noticias, Leonardo berkata dia sedang mempertimbangkan cadangan untuk memfailkan saman terhadap Pejabat Pendaftaran Awam atas kesakitan dan penderitaan yang disebabkan oleh kesilapan pihak berkenaan.
Sumber: Oddity Central








