Mahkamah Sesyen Melaka menjatuhkan hukuman penjara 263 tahun dan 20 sebatan terhadap lelaki berusia 37 tahun yang didapati bersalah merogol, melakukan amang seksual fizikal dan seks menggunakan objek terhadap anak tirinya sejak tiga tahun lalu.
Hakim Darmafikri Abu Adam dan Hakim Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang mengaku bersalah terhadap 32 pertuduhan tersebut yang dibacakan dalam dua prosiding berasingan.
Mengikut 11 kertas pertuduhan, tertuduh didapati merogol anak tirinya berusia 16 tahun. Bagi lapan kertas pertuduhan yang lain, tertuduh didapati bersalah melakukan seks menggunakan objek tanpa kerelaan mangsa.
Tertuduh yang bekerja sebagai guru renang itu turut didapati bersalah ke atas 12 pertuduhan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.
Kesemua kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah rumah di Taman Maju, Jasin antara Januari 2020 hingga 14 Mac 2023.
Media tempatan terdahulu melaporkan seorang remaja perempuan dilaporkan hilang dari kediamannya. Setelah disiasat, polis mendapati mangsa melarikan diri kerana tidak tahan menjadi mangsa rogol bapa tirinya itu.
Bertindak di atas maklumat itu, polis telah menahan suspek dan ibu kandung mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, pada 8 April lalu sebaik saja tiba dari Sabah.
Sumber: Kosmo! Online
Laporan berkaitan
- ‘Pulanglah Qistina, Daddy tunggu awak balik’ – Anak hilang rupanya lari dari rumah sebab trauma diperkosa bapa tiri
- ‘Daddy’ rogol anak tiri semasa isterinya tengah tidur, akan didakwa atas 32 pertuduhan merogol & amang seksual
- ‘Daddy’ mengaku bersalah atas 32 pertuduhan merogol, melakukan amang seksual & seks menggunakan objek terhadap anak tirinya








